Satu Penilaian Terhadap :
Perubatan Tradisional Melayu, Adat Resam masyarakat Melayu Islam, Latihan pertahanan diri Melayu, perkara-perkara Khurafat dan ajaran-ajaran sesat.
KANDUNGAN
- PENDAHULUAN
- SEJARAH RINGKAS NUSANTARA
- KEPERCAYAAN ORANG-ORANG MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
- BALA TENTERA ALLAH
- JIN KHADAM
- TOK BOMOH
- KESESATAN DALAM PERUBATAN
- TANDA-TANDA PERUBATAN TOK BOMOH YANG MENGGUNAKAN KHADAM/JIN DALAM
- KERIS LAGENDA
- ALAM MELAYU KAUM YANG SESAT LAGI MENYESATKAN
- PENUTUP
PENDAHULUAN
Segala puji-puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang Maha mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Sesungguhnya Dialah yang menguasai sekian makhluknya daripada Jin, Malaikat dan manusia serta lain-lain lagi, dan Dia jugalah yang berkuasa ke atas sekian mereka itu. Dialah yang mengatur dan mentadbir alam ini dan Dialah yang Maha Pelulus dan Maha Penentu atas sekelian mahkluknya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi dan Mursalin Nabi Muhammad s.a.w, ahli-ahli bait serta para sahabat baginda serta pengikut sahabat dan ulama-ulama yang menegakkan agama Allah s.a.w serta yang berhubung dengan mereka itu sehingga kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sidang pembaca yang dirahmati; Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana dengan limpah kurniaNya dapat disiapkan sebuah tulisan yang serba kekurangan ini bagi tatapan sidang pembaca yang ingin mencari pengalaman baru dan di harap dapat menjadi pengetahuan yang berguna berhubung dengan Perubatan Tradisional Melayu, Adat Resam masyarakat Melayu Islam, Latihan pertahanan diri Melayu, perkara-perkara Khurafat dan ajaran-ajaran sesat. Tulisan ini di susun semula hasil dari pengalaman penulis sendiri dan beberapa orang sahabat yang terlibat secara langsung dengan ahli masyarakat yang malang dan memerlukan pertolongan, juga ilmu dari guru-guru yang alim dan dari rujukan kitab-kitab. Tujuan tulisan ini diperkenalkan supaya ahli masyarakat Melayu Islam tidak terkeliru di antara adat dan agama supaya jangan nanti ada yang mengatakan adat yang bercanggah dengan Islam itu adalah salah satu daripada tradisi agama Islam. Orang-orang Melayu yang sebahagian besarnya banyak yang terkeliru di antara adat dan agama ; antara karamah dengan Istidraj; antara mau’nah dengan sihir atau silap mata. Sehingga kini ramai yang mudah terpengaruh dengan perkara-perkara pelik umpamanya " Bomoh Budak " di Baling sehingga berpusu-pusu mereka pergi untuk mendapatkan rawatan tanpa menyelidiki terlebih dahulu. Adalah diharapkan setelah membaca tulisan ini anda akan dapat membeza dan menilai kesesatan yang berlaku dalam perbomohan, adat-resam dan latihan pertahanan diri Melayu meskipun faktanya masih banyak yang kekurangan. Sebarang kesilapan atau kekurangan fakta adalah disebabkan oleh kelemahan diri penulis sendiri samada dari sudut keilmuan maupun dari pengalaman. WAllahu’aklam. Hj. Ahmad b. Hj. Che Din Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. 1hb Ogos 1997.
2.SEJARAH RINGKAS NUSANTARA
Sebelum kedatangan Islam di Nusantara, penduduk di Asia Tenggara adalah terdiri daripada penganut fahaman Buddha Syinrawath ( Buddha Puja Dewa ). Pada ketika itu penganutpenganutnya sudah pun sedia mengamalkan perkara-perkara luar biasa yang menyalahi kebiasaan iaitu " Mencarik adat " yang lahir hasil daripada pemuJaan ‘ dewa-dewi’, jampi serapah atau yang seumpamanya. Keadaan ini berlaku adalah hasil daripada pertolongan jembalangjembalang yang terdiri daripada Jin samada dengan menjelma ke dalam diri pemujanya ( Tanasukh Aruah ), Istidraj, Sihir atau silap mata. Semua amalan ini amat kuat pengaruhnya dalam kehidupan seharian mereka pada waktu itu. Mereka mengabdikan diri hanya kepada Dewa-Dewi semata-mata. Dalam konteks ini pegangan fahaman beragama adalah bersumberkan daripada Rahib-rahib yang dikatakan mendapat ilham dari tuhan dewa-dewi samada Dewa Rama, Dewa Sita, Dewa Siva dan yang seumpamanya. Ketika Islam tersebar luas di Semenanjung Arab hingga ke Eropah dan juga ke Asia, maka banyaklah mubaligh-mubaligh Islam dari kalangan orang-orang Arab dan bukan Arab yang datang membawa agama Islam ke sebelah Asia Tenggara sebagai pedagang. Dari situ Islam mula bertapak dengan kuatnya di negeri-negeri bawah angin ini. Gejala isma-isma yang tidak sihat pada waktu itu beransur-ansur hilang kegemilangannya bahkan di sesetengah tempat, umpamanya Acheh isma-isma tersebut telah di benteras sehingga ke akar umbinya. Inilah hasil daripada tarbiah dan didikan mubaligh-mubaligh dan para Daei Islam yang benar-benar alim lagi sufi. Kehadiran mubaligh-mubaligh tersebut seumpama membawa sirna kegemilangan dan kecemerlangan kepada penduduk tempatan sehingga pada satu ketika Acheh mendapat jolokan sebagai Serambi Mekah. Setelah sekian lama gejala pemujaan jampi serapah hilang, akhirnya ia timbul semula setelah Portugis, Belanda, Spanyol, Perancis, Amerika dan Inggeris berusaha menakluki Asia Tenggara dengan memperkenalkan agama Kristian di samping perdagangan yang menyebabkan orang Islam bangun menentang mereka. Pada suatu ketika Belanda telah membunuh lebih daripada 6,000 Ulama Islam di Tanah Jawa. Pada ketika itu ulama merupakan tokoh pemimpin yang utama dalam semua aktiviti harian bermula dari aspek agama, sosial dan kemasyarakatan, ketenteraan hinggalah kepada perubatan dan sebagainya. Mereka inilah yang banyak memainkan peranan penting dalam menggerakkan penentangan terhadap penjajahan barat, kerana merekalah yang terlebih dahulu mengenali erti hidup beragama serta beramal dengannya, lebih dahulu merasai bahang campurtangan asing, lebih dahulu menghidu bau najis Mughalazah penjajahan dalam kebudayaan, tipu daya pemerintahan dan tipu daya dalam ketenteraan dan sebagainya ke atas negerinya dan anak-anak bangsanya. Akibat daripada peristiwa itu, maka saki baki pahlawan Islam yang hilang pedoman telah cuba meneruskan perjuangan menentang Belanda dan Inggeris dengan kekuatan dan keilmuan apa saja yang ada pada mereka asalkan mereka mampu. Dalam keadaan terdesak itu mereka berusaha memperolehi daya kekuatan yang yang luar biasa melalui amalan-amalan cara hulubalang, wiridwirid, jampi serapah dan yang seumpama dengannya, melalui kaedah biasa dan setengah daripada mereka melalui Uzlah ( bertapa dan riadah ), maka datanglah pula jembalang-jembalang daripada Jin samada Jin Islam atau Jin Kafir yang berhubung dengan mereka, dengan cara Tanasukh Aruah ( penjelmaan ke dalam diri ), istidraj, sihir atau silap mata yang menolong mereka menghasilkan hajat mereka, yang pada sangkaan mereka adalah malaikat-malaikat atau wali-wali atau Nabi Khaidir yang telah datang berhubung dengan mereka.
3 KEPERCAYAAN ORANG-ORANG MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Sementara itu di Tanah Jawa timbul pula fahaman Wahdatu Ujud yang tidak dapat membezakan di antara Wahdatul Ujud Marhumah ( dalam bab Sufi ) dengan Wahdatul Ujud Mazmumah ( dalam I’tiqad di panggil Hulluliah, Mulhid, Zindik ) sehingga tertegaklah kerajaan yang seumpama itu, iaitu kerajaan Mataram. Fahaman ini adalah hasil daripada pengaruh Syiah. Bermula dari sinilah wujud semula berbagai-bagai rupa bentuk amalan kerohanian, wirid-wirid dan jampi serapah yang menyeleweng dari aqidah syari’at Ubudiah Islamiah yang sebenar ke hadrat Allah seperti yang dibentangkan oleh ulama-ulama terdahulu yang mahir dan ahli pada babnya di dalam kitab-kitab karangan mereka. Terdapat juga dari golongan ini yang memesongkan amalan-amalan mereka bagi kepentingan diri, dengan tujuan : 1. Langkah mempertahankan diri bagi mendapatkan kemegahan dunia ( hanya kepada bangsa semata-mata ) 2. Amalan-amalan kebatinan dalam menuntut kemegahan. 3. Perubatan ( bomoh, tok pawang, tok bidan dan sebagainya ) 4. Berlagak jadi tok sufi ( wali ) yang sentiasa mendapat jazbah ketuhanan. Dari sini merebaklah amalan -amalan karut yang mendapat kekuatan luar biasa daripada bantuan Jin-Jin. Maka ramailah pahlawan-pahlawan Melayu mengambil amalan-amalan ini dengan tujuan untuk mempertahankan diri sendiri dan untuk menewaskan musuh di samping untuk kepentingan masyarakat sekitarnya. Akhirnya mereka telah lupa kepada ajaran-ajaran agama yang telah disampaikan kepada mereka, lalu mereka lebih mementingkan kekuatan material dan kebendaan semata-mata daripada kepentingan akhirat. Lebih jahat lagi, mereka menjadikan adat resam keturunan ke dalam syariat agama Islam sebagai satu amalan yang dimestikan, walaupun terang-terang amalan itu menyalahi ajaran Islam, samada dari segi Fiqh, Akidah, dan Akhlak.
4.KEPERCAYAAN ORANG-ORANG MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, anutan masyarakat Melayu pada ketika itu, boleh di bahagikan kepada tiga kumpulan agama yang terbesar iaitu :1. Agama Buddha Puja Dewa 2. Agama Hindu Puja Dewi 3. Amalan orang-orang Asli. ( Animisme ) Orang-orang Asli sangat kuat berpegang kepada berbagai-bagai kaedah pemujaan Jin sehingga Tok-tok Batin orang Asli di ukur akan kehebatan diri mereka, dengan had ukuran panjang rambut di kepala mereka. Percantuman 3 puak ini samada melalui nikah kahwin atau seumpamanya menghasilkan suatu kemantapan yang kukuh dalam adat resam dan istiadat kebudayaan orang Melayu, di samping membuahkan pelbagai rupa bentuk ilmu, amalan dan kaedah pemujaan dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu perkara yang luar biasa dan mencarik adat, berlumba-lumba untuk menjadi jaguh atau orang yang paling handal di kalangan mereka, untuk bermegah-megah, gagah, orang yang paling berkuasa, orang yang paling di hormati, di segani dan sebagainya. (Lihat carta amalan-amalan Khurafat ) Islam datang ke Asia Tenggara samada melalui Negeri China, Yaman, Parsi atau India dan bertapak kukuh sehingga lebih kurang 200 tahun sahaja. Selepas itu masuklah pula pengaruh agama Kristian melalui penjajahan kuasa-kuasa Barat. Manakala di dalam masyarakat Islam sendiri pula telah di pengaruhi oleh pengaruh-pengaruh Rafidiah, Kharijiah, Qadariah, Jabariah dan sebagainya sehingga menimbulkan berbagai-bagai kefahaman dan aliran dalam mempraktikan ajaran Islam. Keadaan ini menyebabkan sesetengahnya pula terjerumus kedalam gaung kesesatan berikut : 1. Bida’ah Dholalah yang Karohah dan Bida’ah yang haram dalam Syariat 2. Berada dalam salah satu daripada 72 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Aqidah. 3. Berada dalam salah satu daripada 13 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Sufi Daripada pecahan di atas maka wujudlah berbagai-bagai kelompok masyarakat Melayu yang mempunyai fahaman dan amalan masing-masing . Dari situ lahirlah amalan-amalan yang di panggil amalan "Kebatinan ´ atau " Ilmu Hakikat " ( Ilmu Isi ) yang meninggalkan amal syariat sehinggakan sembahyang hanyalah dengan niat sahaja. Puak-puak yang sesat ini dapat di lihat menerusi amalan yang mereka lakukan dalam menunaikan ibadat kepada Allah. Ringkasnya apa jua amalan yang tidak mengikut garis panduan Al-Quran, Hadis Rasullullah s.a.w, Ijma dan Qias adalah termasuk dalam salah satu daripada fahaman-fahaman yang sesat daripada tiga kelompok besar di atas. Jenis Amalan Beragama Orang-Orang Melayu Sebelum Islam. Pada dasarnya amalan beragama orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam bolehlah dibahagikan kepada tiga kepercayaan yang besar iaitu :1. Orang-orang Melayu yang beragama Buddha Puja Dewa 2. Orang-orang Melayu yang beragama Hindu Puja Dewi 3. Orang-orang Melayu yang berpegang dan beramal dengan amalan orang-orang Asli. ( Animisme )
Akibat dari ajaran dan pegangan mereka itu lahir dan wujudlah berbagai-bagai bentuk kebudayaan dan adat resam mengikut jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti. Kedatangan Islam ke Nusantara selepas itu telah berjaya membasmi kepercayaan karut dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Namun tidak semua masyarakat Melayu yang mahu meninggalkan kepercayaan mereka secara keseluruhan dan sehingga ke hari ini, kita masih dapat melihat betapa amalan Khurafat itu masih tegak dan tetap hidup dalam adat resam dan kebudayaan Melayu terutamanya dalam majlis perkahwinan, kematian, perbomohan dan perbidanan, latihan pertahanan diri dan sebagainya. Di samping itu kepercayaan kepada bendabenda keramat seperti keris, kubur, pokok besar, batu dan sebagainya begitu kuat sehingga dapat di lihat sesetengah orang Melayu yang masih menjaga dan menyimpan dengan baik keris pesaka sejak turun temurun, yang dikatakan sebagai "Penjaga keluarga." Kepercayaan seperti ini ada hubungannya dengan asal-usul orang Melayu yang kebanyakannya berasal dari Kepulauan Indonesia yang memang terkenal pada suatu masa dahulu dengan adat dan kepercayaan Hindu serta Buddha. Walaupun Islam mula bertapak di Mataram, Majapahit dan seluruh Kepulauan Jawa namum sisa-sisa peninggalan Hindu dan Buddha masih kuat dalam pegangan mereka. Di Semenanjung Malaysia sendiri terdapat berbagai keturunan seperti Melayu, Bugis, Mendiling, Rawa, Jawa, Banjar, Petani, Siam dan sebagainya dan terdapat juga yang berasal dari keturunan orang-orang Asli. Setelah memeluk Islam mereka telah membawa adat resam masing-masing di dalam agama Islam. Walaupun mereka berbeza dari segi suku keturunannya, namun mereka masih lagi tidak terlepas dari adat resam Hindu dan percampuran dengan adat dan amalan orang Asli. Amalan-amalan kuno seperti puja tanduk lembu/kerbau, hantaran perkahwinan, sireh junjung, nasi tinggi, kelapa-garam-gula dan sebagainya, lenggang perut, kenduri 40/100 hari selepas kematian, sembelih ayam semasa buka gelanggang latihan pertahanan diri, sangkak/ancak untuk jamu Jin dan sebagainya adalah contoh amalan yang ada hubungan dengan pengaruh Hindu dalam adat resam orang-orang Melayu. Begitu juga adat resam, tingkah laku orang-orang asli sebelum Islam di ambil sebagai adat resam atau sebagai cara beragama yang mesti didahulukan, di tokok tambah lagi dengan redha dan lahapnya kita menerima membabi buta pengaruh kebudayaan penjajah yang memang merupakan suatu perancangan jangka panjang Yahudi dan Kristian khasnya untuk membunuh keperibadian muslim orang-orang Melayu yang berpegang teguh dengan agama Islam. Sehingga kini amalan-amalan tersebut masih lagi hidup subur, walaupun telah berkali-kali seruan dakwah sampai kepada mereka supaya meninggalkan amalan tersebut, namun bagi sesetengah daripada mereka itu telah beranggapan bahawa adat-adat tersebut seolah-olah sebahagian daripada ajaran Islam yang mereka anuti. Maka dengan sebab itulah mereka telah mencampuradukkan antara ajaran Islam yang suci ini dengan adat resam yang karut lagi menyesatkan itu, yang semata-mata mengikut khayalan, kebijaksanaan pemikiran dan tahsinul ‘aqli mereka semata-mata sahaja.. Perkara Luar Biasa Yang Mencarik Adat Allah telah menganugerahkan kepada manusia khusus dan awam 8 perkara luar biasa yang mencarit adat yang boleh berlaku ke atas manusia. Perkara luar biasa itu bolehlah dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu, 4 perkara yang di puji dan 4 perkara yang di keji dan menyalahi ajaran Islam. Ramai daripada kalangan orang Islam sendiri yang terkeliru tentang konsep dan perbezaan perkara-perkara tersebut, kadang-kala masyarakat tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana mesti dijauhi. Bagi menjelaskan kekeliruan itu maka diperturunkan serba ringkas
tentang perkara-perkara tersebut, agar pembaca semua dapat membuat penilaian dengan sebaikbaiknya.
Empat Perkara Yang Di Puji 1. Irhas. Irhas ialah perkara luar biasa yang di anugerahkan oleh Allah kepada Nabi-Nabi dan rasul-rasul semasa baginda masih kecil. Contohnya seperti Nabi Isa boleh bercakap semasa baginda masih dalam buaian. Perkara ini tidak menjadi kekeliruan kerana Nabi dan rasul telah tiada pada masa sekarang. 2. Mukjizat. Mukjizat ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada Nabi-Nabi dan rasulnya sahaja bagi melancarkan usaha rasul-rasul tersebut menyampaikan dakwah dan risalah Allah. Contohnya seperti Mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh memahami bahasa semua binatang. 3. Karamah. Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang mukmin yang berakhlak rasul dan benar-benar berpegang dengan ajaran Islam zahir dan batin. Hal ini adalah perkara biasa bagi Mereka. Karamah merupakan suatu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri zahir dan batin hamba-hambanya yang arif tentang Allah ( Arifbillah ) . Mereka ini adalah merupakan orang-orang yang alim dan sentiasa beramal soleh. Mereka mahir sekurang-kurangnya tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf serta mereka sentiasa beramal dengannya pada setiap masa dan kelakuan. Ikatan diri mereka sentiasa dengan Allah tanpa dapat dipengaruhi oleh alam sekeliling. Mereka dimuliakan oleh ahli di langit dan diperhinakan oleh kebanyakan ahli di bumi. 4. Maunah. Maunah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin awam yang soleh, yang apabila di timpa sesuatu musibah atau hal ke atas dirinya, mereka terus melipat gandakan pergantungan dan keimanan kepada Allah serta memantapkanya melalui berbagai-bagai wirid, jampi dan doa serta amalan-amalan sunat yang lain. Maunah ini merupakan satu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri zahir dan batin hambahambanya yang soleh. Mereka arif tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf tetapi kemampuan beramal mereka adalah terhad. Apabila berlaku sesuatu hal ke atas diri mereka samada mutlak dari Allah atau yang bersangkut paut dengan manusia, mereka terus melipatgandakan pergantungan diri dan keimanan kepada Allah serta memantapkan lagi dengan berbagai-bagai wirid, jampi, doa dan segala amalan sunat. Mereka tidak merasa sedih atau kecewa sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan oleh Allah. Empat Perkara Yang Di Keji Perkara luar biasa yang di keji oleh Allah ialah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang biasa melalui pertolongan selain daripada Allah. Contohnya melalui pertolongan khadam-khadam yang terdiri daripada Jin dan Syaitan dan sebagainya. Perkara luar biasa jenis ini mestilah di jauhi oleh setiap orang Islam kerana ianya sesat dan menyesatkan. Perkara-perkara tersebut ialah :
1. Istidraj
Istidraj ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada mereka yang berpura-pura beramal dengan amalan soleh, walaupun diri mereka mahir dengan fardhu ain, Usuluddin, fekah dan tasauf. Mereka berbangga dengan perkara luar biasa yang berlaku ke atas diri mereka sedangkan mereka mengetahui punca sebenar datangnya perkara luar biasa tersebut. Lazimnya golongan ini terikat dengan perjanjian serta mewujudkan pantang-larang yang selari dengan hukum syarak. Ini kerana khadam-khadam mereka adalah terdiri daripada golongan Jin Islam samada yang soleh, fasik atau terdiri daripada Jin yang kafir. Setiap amalan wirid, jampi dan doa itu ada penjaganya (Khadam). Orang yang beramal dengan kaedah ini kebiasaannya mempunyai suatu perasaan tidak baik yang telah tersemat dalam diri mereka. Antara matlamat mereka ialah :a) Ingin di puja. b) Ingin dikunjungi oleh orang ramai c) Cinta kepada pangkat dan kebesaran d) Ingin mendapatkan harta dan kuasa Golongan khadam ayat dari golongan puak rohani alam rendah memang dijadikan Allah untuk menyukakan golongan yang seumpama itu dengan beberapa perkara luar biasa. Mereka pada zahirnya kelihatan seperti orang yang beriman dan sentiasa menjaga syariat Islam serta berakhlak Rasul tetapi sebenarnya mereka beramal dengan perkara-perkara kufur dan telah terjun ke lembah kekufuran, samada mereka sedari atau tidak. Punca kesesatan golongan ini ialah apabila rohani-rohani alam yang rendah mengunjungi mereka dalam tidur ataupun semasa jaga, dengan rupa atas nama-nama orang-orang soleh samada yang masih hidup ataupun yang telah mati atau mereka membuat Tajalli ketuhanan. Lazimnya mereka dibebankan dengan beberapa syarat yang menepati hukum syarak untuk diamalkan sebagai syarat perjanjian persahabatan dalam semua kelakuan melalui lidah, anggota dan hati, di semua tempat, waktu dan masa. Maka bermula di saat itu diri mereka berada di dalam Syirik Uluhiyyah dan segala rupa bentuk amalan syariatnya tidak ada nilai di sisi Allah. Mereka sebenarnya mengetahui dari mana datangnya zahir perkara luar biasa pada perkataan, perbuatan dan kasad hati, tetapi mereka enggan meninggalkan amalan tersebut kerana mereka ingin menjadi jaguh dalam bidang perubatan dengan mengadakan beberapa keajaiban dari berbagai-bagai jenis ubatan, kaedah perubatan dan sebagainya. Kadang-kadang melalui langkah mempertahankan diri. Mereka juga terjebak dalam permainan tunjuk kuat kebatinan supaya mereka di anggap orang yang paling makbul doanya atau paling keramat. Jika dia seorang ulama, maka dia inginkan supaya di kunjungi, di puja dan di hormati sebagai seorang Ahlillah secara mutlak, sedangkan dalam masa yag sama dia akan terasa hina dan hilang kewibawaan sebagai ulama, jika tiada pada dirinya, nyata beberapa perkara yang luar biasa. 2. Sihir. Sihir ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-rang Islam yang durhaka (‘asi ) yang tidak faham aqidah, syariat dan ubudiah serta tidak beramal dengannya dan orang-orang yang fasik. Sihir juga diberikan oleh Allah kepada pendita-pendita bukan Islam samada Yahudi, Buddha, Nasrani, Majusi dan yang seumpama dengannya. Sihir ini terjadi melalui pertolongan daripada rohani Jin Islam yang fasik dan Jin-Jin yang kafir melalui perjanjian tertentu. Kebiasaannya golongan ini terikat dengan perjanjian dan mengadakan jamuan yang harus dan haram di sisi Syarak. Mereka mendapat perkara yang luar biasa ini adalah melalui pertolongan kumpulan Jin Islam yang fasik dan daripada Jin yang kafir. Golongan orang Islam yang mendapat perkara luar biasa melalui kaedah ini selalunya sentiasa bergelumang dengan kejahatan dalam semua hal. Golongan ini sebenarnya Mulhid dan Zindik dalam bab aqidah. Selalunya mereka akan mengadakan berbagai cara atau upacara yang berselindung di sebalik ajaran Islam. Antara mereka yang termasuk dalam golongan ini ialah :
a) Kumpulan Hassan Anak Harimau b) Wali Suci c) Budi (Buddha) Suci d) Batin Sakti e) Hakikat Insan f) Pati Geni g) Fahaman Wahdatul Ujud dalam I’itiqad h) Baginda Mukhtar i) Lain-lain kumpulan yang tumbuh bagaikan cendawan di negara ini. 3. Silap Mata. Silap Mata adalah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang Islam yang fasik dan juga kepada orang-orang kafir, melalui pertolongan daripada Jin kafir. Oleh itu mereka juga terikat dengan perjanjian dan membuat perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak. 4. Sya’wazah. Sya’wazah ialah perkara yang di kurniakan oleh Allah, yang berlawanan sama sekali daripada kehendak asal. Kebiasaannya perkara ini Allah berikan kepada golongan yang angkuh daripada orang-orang kafir. Misalnya apabila mereka meminta sesuatu yang baik, tetapi Allah kurniakan dengan sesuatu kejahatan yang berlipat ganda.
BALA TENTERA ALLAH.
Allah mempunyai bala tenteraNya yang tersendiri yang terdiri daripada sekelian makhluknya samada daripada manusia, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang di lautan, daratan dan yang seumpama dengannya seperti angin, api dan segala carkawala di angkasa raya. Bala tentera Allah tersebut terbahagi kepada beberapa kumpulan yang akan diperintahkan oleh Allah untuk membantu manusia apabila dikehendakiNya. Antara bala tentera Allah tersebut adalah terdiri daripada :A. Bala Tentera alam atas yang terdiri daripada seluruh malaikat alam tinggi. Bala tentera ini apabila diperintahkan oleh Allah untuk menolong para nabi dan rasul-rasul, maka pertolongan yang menzahirkan perkara yang luar biasa itu akan dinamakan sebagai Mukjizat. Manakala pertolongan yang menzahirkan perkara luar biasa yang terjadi kepada nabi dan rasul semasa kecil pula, dinamakan sebagai Irsad. Bentuk pertolongan tersebut samada melalui lidah, anggota, kasad hati atau melalui ketiga-tiga bentuk tersebut secara sekali gus. Jika mereka menjadi penolong kepada ulama-ulama dan orang-orang soleh yang arif billah ( iman, syariat dan akhlak mereka menepati sebagaimana iman, syariat rasul zahir dan batin ) maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai Keramat. Perkara luar biasa yang berlaku kepada ulama-ulama dan orang-orang saleh yang apabila, mereka di timpa bala dan musibah, maka mereka melipat gandakan ubudiah dan pergantungan kepada Allah dengan penuh ikhlas diri dan amalan mereka, maka perkara luar biasa tersebut dinamakan sebagai Maunah. B. Bala tentera Allah Alam rendah Bala tentera Allah alam rendah pula adalah terdiri daripada sekelian rohani jin-jin Islam yang soleh dan jin-jin Islam yang fasik dan kafir serta semua manusia dan makhluk Allah yang lain yang menghuni alam ini, seperti haiwan, tumbuhan, angin, batu dan sebagainya Manakala rohani Jin Islam yang alim dan soleh daripada alam rendah yang apabila diperintahlan oleh Allah datang memberi pertolongan kepada manusia yang alim dan soleh yang wujud dalam diri mereka itu sifat-sifat mazmumah, maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai Istidraj. Perkara luar biasa tersebut dinamakan sebagai istidraj kerana rohani jin Islam yang soleh tersebut akan mengenakan beberapa syarat yang menepati hukum syarak sebelum memberi pertolongan tersebut. Jika rohani jin Islam yang fasik atau jin kafir diarah memberi pertolongan kepada manusia Islam yang fasik atau manusia yang pura-pura beriman atau yang seumpama dengannya pula dinamakan sebagai sihir atau silap mata, kerana mereka mengenakan beberapa syarat yang harus pada hukum syarak. Jika jin -jin yang kafir atau anak keturunannya diperintahkan memberi pertolongan kepada manusia yang kafir yang terdiri daripada rahib-rahib, padri-padri, sami-sami atau yang seumpama dengannya, maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai silap mata atau sihir peringkat tinggi, kerana mereka mengenakan syarat-syarat yang haram pada hukum syarak.
JIN
Makna Jin. Jin adalah satu nama jenis dan dalam bahasa Inggeris di sebut Ginie - perkataan tunggalnya " Jinny " yang bermaksud yang tersembunyi, yang tertutup atau yang gelap pekat. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang Jin. Antaranya :1. Surah Al-Hijr ayat 26 - 27 : Yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang di beri bentuk dan Kami telah ciptakan Jin sebelum di ciptakan manusia daripada api yang sangat panas. 2. Surah Ar-Rahman ayat 15 : Yang bermaksud : Dia ( Allah ) menciptakan Jann ( Jin ) dari nyalaan api ( Pucuk api yang menyala-nyala atau Maarij ) 3. Surah Al-‘Araf ayat 12 : Yang bermaksud : " Engkau ciptakan aku ( kata Iblis ) dari api sedangkan ciptakan dia ( Adam ) dari tanah. 4. Dari Hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Muslim r.a Maksudnya : " Malaikat diciptakan dari cahaya, Jaan diciptakan dari lidah api sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu ( tanah ). Asal Kejadian Jin. Keterangan "Al-Maarij " Maarij bermaksud nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas bahangnya atau " Al-Lahab " iaitu jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama pula mengatakan " Al-Maarij " itu ialah api yang sangat terang yang memiliki suhu yang amat tinggi sehingga bercampur antara merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah api yang bercampur warnanya dan sama maknanya dengan " As-Samuun " iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah jadikan Jaan. Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud pula menyatakan bahawa angin Samuun yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian angin Samuun yang sangat panas itu. Dari api yang amat panas inilah Allah telah menciptakan Jin, iaitu dari sel atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah. Jin juga di beri izin oleh Allah menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah s.a.w mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Jin juga diperintahkan oleh Allah menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya.
Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 peratus mirip kepada manusia. Asal kejadian manusia ialah campuran daripada Jisim Kathif iaitu tanah dan air, Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani, iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan "LatifaturRabbaniah " sesuai dengan manusia sebagai sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah dan sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Manakala kejadian Jin pula ialah campuran Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan kejadian Jin. Manakala mahkluk-makluk lain pula Allah jadikan daripada salah satu unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran Jisim Ksayif dan Jisim Syafaf sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula dijadikan daripada Jisim Kasyif semata-mata. Manakala Malaikat pula dijadikan daripada Nurani semata-mata. Cara pembiakan Jin. Manusia memerlukan masa mengandung selama sembilan bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk matang dan menjadi baligh. Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat. Iblis pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat. Bunian atau lebih masyhur di kalangan orang-orang Melayu dengan panggilan orang Ghaib pula ialah hasil campuran lelaki atau perempuan Jin dengan lelaki atau perempuan dari kalangan manusia. Anak yang terhasil daripada percampuran itu dikenali dengan nama Bunian. Perangai dan tingkah laku serta rupa bentuknya orang Bunian ini dalam beberapa perkara mengikut manusia dan dalam beberapa perkara pula mengikut Jin. Jika asal usul datuk manusia ialah Nabi Adam, maka asal usul datuk Jin pula ialah " Jaan " yang asalnya adalah beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan yang beriman. Selepas itu terdapat pula dari keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula keturunan yang kufur. Anak cucu Jaan yang asal beriman itu ada yang kekal dalam iman dan ada pula yang kufur dan ada pula yang kembali beriman kepada Allah. Agama puak-puak Jin. Jin Juga seperti manusia, iaitu ada yang baik, ada yang jahat, ada yang soleh, ada yang tidak soleh, ada yang alim lagi mukmim, ada ada yang kufur, ada yang murtad, fasik dan zalim, ada yang masuk syurga dan ada yang dihumbankan oleh Allah ke dalam neraka di hari akhirat kelak. Majoriti puak-puak Jin terdiri daripada golongan Jin kafir. Golongan Jin kafir ini kebanyakanya beragama Yahudi, Kristian, Komunis dan sangat sedikit daripada mereka yang beragama Buddha dan Majusi. Terdapat juga golongan Jin yang tidak beragama. Golongan Jin yang memeluk Islam hanyalah sedikit bilangannya dan terdiri daripada golongan manoriti jika di bandingkan dengan keseluruhan bilangan Jin. Seperti juga manusia biasa, Jin juga berada dalam tingkat-tingkat iman, ilmu dan amalan yang tertentu berdasarkan kepada keimanan dan amalan mereka kepada Allah. Antaranya ada Jin Islam yang bertaraf awam sahaja , Jin Islam yang di tingkat iman Khawas dan Jin Islam yang berada ditingkat iman yang Khawasil-Khawas.
Walaupun Jin Islam yang paling tinggi imannya dan paling soleh amalannya serta paling luas serta banyak ilmunya , tetapi masih ada pada diri mereka sifat-sifat mazmumah seperti takbur, riak, ujub dan sebagainya, tetapi mereka mudah menerima teguran dan pengajaran. Mungkin inilah yang sering diperkatakan bahawa " sebaik-baik Jin itu ialah sejahat-jahat manusia yang fasik. " Tetapi yang berbezanya manusia yang paling jahat susah menerima pengajaran dan teguran yang baik. Golongan Jin Islam yang awam dan Jin kafir suka merasuk manusia yang awam dengan berbagaibagai cara, kerana pada pandangan mereka manusia-manusia yang awam itu bukanlah manusia sebenarnya, sebaliknya adalah rupa seekor binatang. Manusia yang Khawas dan KhawasilKhawas tidak dapat di rasuk oleh Jin, bahkan Jin pula akan datang kepada mereka untuk bersahabat. Rupa Bentuk Jin. Pada asasnya rupa bentuk Jin tidaklah banyak berbeza daripada rupa bentuk manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya, sepertimana yang di miliki oleh manusia. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 peratus Jin menyerupai manusia. Cuma yang berbezanya fizikal Jin adalah lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, ada yang terlalu tinggi dan ada bermacam-macam warna, iaitu putih, merah biru, hitam dan sebagainya. Jin yang kekal dalam keadaan kafir dan Jin Islam yang fasik itu mempunyai rupa yang huduh dan menakutkan. Manakala Jin Islam yang soleh pula mempunyai rupa paras yang elok. Menurut sesetengah pendapat tinggi Jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan umurnya tersangat panjang dan ada yang beribu tahun umurnya. Kecepatan Jin bergerak adalah melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan Jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seprti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti Malaikat, maka ruang yang kecil pun boleh di duduki oleh berjuta-juta Jin dan ianya juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia. Jumlah Jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat bilangannya ialah jumlah semua manusia daripada Nabi Adam hingga ke hari kiamat di darab dengan haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di darab dengan pasir-pasir dan semua tumbuh-tumbuhan. Itu pun baru satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Jin. Manakala jumlah keseluruhan Jin ialah satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Malaikat. Jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih mengetahuinya. Alam kediaman Jin ialah di lautan, daratan, di udara dan di Alam Mithal iaitu suatu alam di antara alam manusia dan alam malaikat. Jika di berikan oleh Allah kepada kita melihat Jin, sudah tentulah kita akan melihat jarum yang dijatuhkan dari atas tidak akan jatuh ke bumi , tetapi hanya jatuh di atas belakang Jin, disebabkan terlalu banyaknya jumlah mereka. Sebab itulah orang-orang tua kita selalu berpesan supaya anak-anak segera balik ke rumah apabila telah tiba waktu maghrib dan pintu serta tingkap rumah mesti di tutup, supaya tidak dimasuki oleh Syaitan dan Iblis. Sebagaimana sebuah Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Apabila kamu menghadapi malam atau kamu telah berada di sebahagian malam maka tahanlah anak-anak mu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran ketika itu dan apabila berlalu sesuatu ketika malam maka tahanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta sebutlah nama Allah, padamkan lampu-lampu mu serta sebutlah nama Allah, ikatlah minuman mu serta sebutlah nama Allah dan tutuplah sisa makanan mu serta sebutlah nama Allah ( ketika menutupnya ) "
Hadis di atas bermaksud bahawa Jin dan Syaitan akan tidur di waktu siang dalam cahaya dan sinar sehingga menjelang petang, di mana pada waktu itu mereka berkeliaran mencari rezeki dan makanan, baik lelaki maupun perempuan, samada yang dewasa atau kanak-kanak. Melihat Jin. Pada prinsipnya Jin tidak boleh di lihat, di sentuh dan di dengar oleh manusia dalam bentuk yang asal sebagaimana ianya diciptakan, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu, Jin boleh di lihat dalam rupa bentuk yang diingininya. Jin juga boleh di lihat oleh manusia dalam keadaan sihir atau ketika meminum air sihir atau melalui kemahuan Jin itu sendiri untuk memperlihatkan dirinya kepada manusia. Di dunia semua Jin boleh melihat manusia manakala manusia yang Khawas dan KhawasilKhawas sahaja yang boleh melihat Jin selain daripada para Nabi dan Rasul. Manakala di akhirat pula semua manusia mukmin yang ahli syurga boleh melihat Jin manakala Jin yang Khawas dan Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat manusia. Antara kelebihan Jin yang telah diberikan oleh Allah ialah kemampuannya untuk mengubah dirinya dalam berbagai bentuk dan rupa. Contohnya dalam peperangan Badar, Iblis telah menampakkan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dari Bani Mudlij dan Syaitan pula dalam rupa Suraqah bin Malik yang datang membantu tentera musrikin memerangi tentera Islam. ( Iblis dan Syaitan adalah juga merupakan sebahagian daripada golongan Jin ). Dalam Sahih Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa adanya Jin yang menampakkan dirinya dalam bentuk seekor ular dan membunuh seorang pemuda yang cuba membunuh ular tersebut. Di samping itu Jin juga boleh menampakkan dirinya dalam rupa bentuk haiwan yang lain seperti rupa bentuk kucing, anjing dan sebagainya. Kumpulan-kumpulan Jin. Jin juga seperti manusia yang inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak. Puak dan kumpulan Jin terlalu banyak dan bercakap dalam berbagai-bagai loghat dan bahasa. Ada sesetengah ulama membahagikan Jin kepada beberapa kumpulan, antaranya kumpulan yang menunggu kubur, kumpulan yang menunggu gua, kumpulan yang menunggu mayat manusia, kumpulan yang menunggu hutan rimba, kumpulan yang menunggu bukit bukau, kumpulan yang menunggu air mata air, kumpulan yang menunggu tasik, kolam, teluk, kuala, pulau dan sebagainya. Jenis-jenis Jin Sama seperti manusia Jin juga terdiri dari pada berbagai jenis atau bangsa, antara yang tersohor ialah :1. Iblis Bapa dan pujaan kepada semua jenis Jin, Iblis dan Syaitan.. 2. Asy-Syaitan Syaitan-syaitan 3. Al-Maraddah Peragu-peragu ( pewas-was ) 4. Al-Afrit Penipu-penipu 5. Al-A’waan Pelayan-pelayan 6. Al-Tayyaaruun Penerbang-penerbang 7. Al-Ghawwaasuun Penyelam-penyelam 8. At-Tawaabi Pengikut-pengikut ( pengekor ) 9. Al-Qurana Pengawan-pengawan 10. Al-Ummaar Pemakmur. Gelaran-gelaran Jin dalam istilah orang-orang Melayu.
Jin menurut orang-orang Melayu mempunyai beberapa nama dan gelaran menurut perwatakkan dan rupa bentuk penjelmaan mereka. Kebanyakan nama Jin-Jin itu dimulai dengan hantu. Hantuhantu tersebut sebenarnya adalah terdiri daripada golongan Jin, cuma di kalangan orang Melayu, menganggap hantu itu adalah makhluk yang berbeza daripada Jin. Antara Jin-Jin yang popular di kalangan orang-orang Melayu ialah :a. Hantu Raya j. Hantu Pontianak s. Hantu Polong b. Hantu Toyol k. Hantu Langsuir t. Hantu Penanggal c. Hantu Pelesit l. Hantu Air u. Hantu Bukit d. Hantu Kubur m. Hantu Pari v. Hantu Punjut e. Hantu Jerangkung n. Hantu Laut w. Hantu Bawah Tangga f. Hantu Galah o. Jin Tanah x. Hantu Kum-Kum g. Hantu Bungkus p. Hantu Pocong y. Hantu mati di bunuh h. Hantu Bidai q. Hantu pari-pari z. Hantu Kopek ( Tetek ) i. Harimau Jadian r. Jembalang Tanah zz. Hantu Tengelong Kerajaan-kerajaan Jin. Jin juga mempunyai pemimpin dan kerajaannya yang tersendiri. Antara Raja Jin alam bawah yang kafir ialah seperti Mazhab, Marrah, Ahmar, Burkhan, Syamhurash, Zubai’ah dan Maimon. Empat raja Jin Ifrit ( Jin yang paling jahat ) yang mempunyai kerajaan yang besar yang menjadi menteri kepada Nabi Allah Sulaiman a.s ialah Thamrith, Munaliq, Hadlabaajin dan Shughal. Manakala Raja Jin Alam atas yang Islam pula ialah Rukiyaail, Jibriyaail, Samsamaail, Mikiyaail, Sarifiyaail, ‘Ainyaail dan Kasfiyaail. Raja Jin yang mengusai kesemua Jin tersebut bernama THOTHAMGHI YAM YA LI.. Manakala Malaikat yang mengawal kesemua Jin-Jin di atas bernama Maithotorun yang bergelar QUTBUL JALALAH. Anak-anak Iblis juga mempunyai kerajaan yang besar antaranya :1. Thubar Merasuk manusia yang di timpa musibah dan bala 2. Daasim Merasuk manusia untuk menceraikan ikatan silatulrahim, rumah tangga, keluarga, sahabat handai, jemaah dan sebagainya. 3. Al-‘Awar Merasuk manusia supaya meruntuhkan akhlak, berzina, minum arak, liwat, berjudi dan sebagainya 4. Zalanbuur Merasuk manusia dengan api permusuhan dan pembunuhan. Antara Jin, Ifrit dan Syaitan serta Iblis. Jin, Ifrit, Syaitan dan Iblis adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah. Iblis dan Syaitan juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah sehingga ke hari kiamat. Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud : " Iblis menjawab : Sebab engkau telah menghukum saya dengan tersesat, saya akan menghalang halangi mereka dari jalan Mu yang lurus. Kemudian saya akan mendatangani mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur ( taat )."
Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahliahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan manusia ( Adam ). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis. Bermula dari saat itulah Iblis melancarkan gerakan permusuhan dengan manusia sehingga ke hari kiamat. Allah telah menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis permusuhan dilakukan oleh Jin ke atas manusia iaitu :1. Melalui Kejahatan ( As-Suu’ ) : iaitu berkenan dan gemar kepada dosa-dosa dan maksiat hati dan segala anggota tubuh badan. 2. Kekejian ( Al-Fahsyaa’ ) : iaitu kejahatan yang lebih buruk dan jahat lagi. Kekejian ini adalah sebahagian daripada perkara yang membawa kepada kedurhakaan dan maksiat kepada Allah. 3. Melalui pembohongan dan menipu Allah melalui perbuatan, perkataan dan nawaitu. Bersahabat dengan Jin. Ramai di kalangan orang-orang Melayu yang bersahabat dan menjadikan Jin sebagai pembantu dan Khadam mereka dalam membantu mereka melaksanakan tugas-tugas yang tertentu. Contohnya seperti Tok Bomoh, Tok Pawang, Tok Dukun, Tok Mudim, Mak Bidan, Mak Andam, Tukang Urut, Panglima, Hulubalang, Tok Guru latihan pertahanan diri dan sebagainya. Walaupun begitu tidak semua golongan di atas yang menggunakan Jin dalam kerja-kerja harian mereka. Tidak dinafikan terdapat juga golongan tersebut yang benar-benar mempunyai kemahiran semulajadi tanpa pertolongan dari Jin. Menurut Sheikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani dalam kitabnya Yawaqitu Wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekedudukan dengan Jin itu sangat keji. Katanya lagi " Barang siapa memilih dan melebihkan sekedudukan dengan Jin daripada bersekedudukan dengan ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana yang lebih biasa bagi Jin itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan manusia yang fasik. Maka orang yang berakal lari ia daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan Jin, seperti larinya daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan manusia yang fasik." Tambahnya lagi : " Tidak sekali-kali aku melihat seseorang yang bersekedudukan dengan Jin itu beroleh kebajikan kerana asal kejadian Jin itu adalah daripada api dan api itu sangat banyak geraknya. Dengan banyak gerak itu datanglah berlebih-lebihan perbuatan dan perkataan orang itu. Syeikh Muhyuddin Arabi dalam kitabnya Futuhat pula menjelaskan : " Adalah orang yang bersekedudukan ( bersahabat ) dengan Jin itu tidak beroleh ilmu kerana Allah. Kerana Jin itu sangat jahil akan Allah dan sifat-sifatNya. Kadang-kadang orang yang bersahabat denagan Jin itu menyangka semua perkara yang dikhabarkan dan di beritahu oleh Jin itu adalah daripada perkara yang berlaku di dalam alam itu adalah Karamah daripada Allah Taala. Sebenarnya sangkaan mereka tersebut adalah tidak benar sama sekali. Kerana segala pemberian Jin kepada manusia tentang khasiat tumbuh-tumbuhan, khasiat batu permata, akar kayu dan segala khasiat Isim dan huruf itu adalah merupakan salah satu bidang dalam ilmu Kimia semata-mata yang juga boleh di pelajari dan diketahui oleh manusia. Kata Syeikh Muhyuddi Arabi lagi : " Sesungguhnya ramai orang yang bersahabat dengan Jin akan menjadi takbur dan sombong dengan kelebihan yang dimilikinya itu. Sifat takbur merupakan
salah satu sifat yang paling di murkai oleh Allah dan akan dimasukkan ke dalam Neraka seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran dan Hadis RasulNya. Ringkasnya kita sebagai seorang Islam di tegah daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan para Jin samada Islam maupun Jin kafir kerana keburukannya lebih banyak jika dibandingkan dengan kebaikan yang akan kita perolehi. Jin akan sentiasa merasuk dan mendorong manusia supaya melakukan kejahatan dan maksiat tanpa kita sedari. Masuknya Jin Kedalam Tubuh Manusia. Jin boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia dengan berbagai-bagai cara dan manusia yang mengunakan khidmat Jin untuk melakukan pengkhianatan kepada manusia lain pun melalui berbagai cara. Sebagaimana sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Sayidah Syafiyyah binti Huyay , bahawa Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya : " Sesungguhnya Syaitan ( Jin ) itu berjalan dalam tubuh anak Adam sebagaimana darah yang mengalir dalam tubuhnya ". Dari Hadis di atas jelaslah bahawa Jin dapat masuk kedalam tubuh badan manusia dan terus sampai ke urat nadi dan darah manusia. Jin dapat berjalan dalam tubuh manusia seperti arus eletrik mengalir dalam kabel penyalurnya. Jin juga dapat menguasai manusia sehingga ia dapat menimbulkan perkelahian sesama manusia, manusia kehilangan ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi. Jin boleh memasuki badan manusia samada di pinta sendiri oleh manusia atau tanpa di sedari oleh manusia itu sendiri. Jin mendampingi dan memasuki manusia melalui salah satu cara yang berikut. Antaranya 1. Melalui Khadam atau manusia itu sendiri menjadikan Jin sebagai sahabatnya. 2. Melalui " saka Baka " 3. Melalui Sihir yang di lakukan oleh manusia lain ke atasnya. 4. Kerana manusia itu sendiri lalai dari mengingati Allah atau melakukan perkara perkara yang di larang oleh Allah, bererti mendekatkan diri untuk di kuasai oleh Jin dan Iffrit. 5. Melakukan kejahatan terhadap Jin tertentu seperti menjatuhkan sesuatu benda berat di sesuatu tempat yang ada Jin, tanpa menyebut nama Allah sehingga menyebabkan kematian anak Jin, 6. Kerana adanya Jin lelaki yang jatuh cinta kepada seorang perempuan yang suka bersolek atau wanita-wanita yang suka keluar rumah untuk memperlihatkan kecantikannya dan tidak memakai tudung serta suka mendedahkan aurat. 7. Melalui pengamalan jampi serapah, doa dan ayat-ayat tertentu yang boleh mendatangkan Jin . Apabila telah memasuki badan manusia, walau dengan apa cara sekali pun Jin tersebut akan mendiami salah satu tempat berikut di anggota tubuh badan manusia. ( walaupun mereka bebas bergerak-gerak dalam badan manusia ) Antara tempat-tempat tersebut ialah :1. Mereka berkumpul di mata kanan dan kiri. Sebab itulah jika seseorang itu membela atau telah dimasuki Jin dalam badan mereka, mereka tidak berani bertentang mata dengan orang lain. 2. Berada di telinga kanan dan kiri, dengan itu manusia yang telah terasuk Jin tidak suka mendengar nasihat dan teguran yang baik serta amat suka mendengar perkara-perkara maksiat seperti muzik yang melalaikan dan sebagainya. 3. Berada di mulut manusia, dengan itu manusia yang telah di masuki Jin amat suka bercakap benda-benda yang tidak berfaedah dan mendatangkan dosa seperti mengumpat, melaga-lagakan manusia lain dan sebagainya. 4. Berada di hidung manusia, menyebabkan manusia suka menghidu benda-benda yang tidak elok dan boleh merosakkan diri manusia sendiri. 5. Berada di ari-ari ( pusat ), menyebabkan orang tersebut sentiasa mengalami sakit dalam perut
dan pelbagai penyakit yang tidak boleh di kesan oleh doktor 6. Berada di kemaluan manusia, menyebabkan manusia suka melakukan perkara-perkara maksiat seperti berzina dan sebagainya. Manusia yang selamat dari ganguaan Jin , Iblis dan Syaitan adalah manusia yang sentiasa berada dalam Tauhid ( mengesakan ) Allah, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah serta beramal dengan syariat Islam. Jalan paling dekat untuk berada dalam tauhid Allah ialah dengan kita mengambil contoh perbuatan dan kelakuan mereka yang setiap waktu dan masa berada dalam tauhid Allah, seperti Nabi Muhammad, sahabat-sahabat baginda, para ulama dan sebagainya. Dengan itu Insyaalah akan menyampaikan diri kita zahir dan batin berada dalam tauhid Allah di semua tempat, waktu dan masa melalui anggota, lidah dan hati sebagaimana mereka, iaitu selamat daripada gangguan para Jin, Iblis dan Syaitan atau seumpamanya. Kata Ulama : " Kun Ma’Allah fain lam takun ma’Allah, fakun Ma’a man ma’Allah fainnahu yusiluka illallaah " Maksudnya : " Hendaklah jadikan diri kamu bersama Allah, maka jika kamu tidak boleh jadikan diri kamu bersama Allah hendaklah kamu jadikan diri kamu bersama dengan mereka yang telah beserta dengan Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu akan menyampaikan diri kamu kepada Allah " Diri manusia mukmin yang menjadi kekasih Allah itu adalah seumpama kalbu Alam atau jantung alam atau pusat alam yang dikurniakan oleh Allah daya atau kuasa graviti mengikut darjah ketinggian imam, ilmu dan amalan mereka di sisi Allah. Diri-diri yang lain hanyalah di bawah atau di dalam kuasa atau graviti mereka.
KHADAM
Khadam ialah pembantu atau orang suruhan yang akan membantu tuannya apabila di minta. Khadam pada asasnya terbahagi kepada dua golongan, iaitu :1. Khadam Asal. Khadam asal adalah terdiri daripada rohani Malaikat dan Jin Islam peringkat tinggi yang nama mereka adalah seperti nama malaikat. Ia tidak mendatangkan apa-apa syarat kepada ahlinya untuk berkhidmat. Khadam jenis ini adalah diharuskan oleh syarak. 2. Khadam Bersyarat. Khadam jenis ini adalah terdiri daripada Jin alam rendah samada terdiri daripada Jin Islam atau Jin kafir. Golongan ini datang kepada ahlinya dengan perjanjian dan beberapa syarat khusus dan umum, samada yang bertepatan dengan hukum syarak ataupun yang diharamkan oleh syarak. Khadam jenis ini adalah diharamkan oleh Islam. Khadam bersyarat ini akan datang menolong ahlinya dengan melalui salah satu daripada cara berikut :1. Dampingan Luaran. Khadam ini akan mendampingi dan menolong tuannya melalui luaran sahaja, iaitu hanya melalui perbuatan, ucapan atau qasad hati. 2. Dampingan Dalaman. Khadam jenis ini juga dikenali sebagai Tanasakhul Aruah atau penjelmaan khadam atau Jin dalam diri seseorang (menurun) dengan menamakan diri mereka, semasa menurun dengan nama-nama tertentu seperti Nabi Khaidir, Panglima Hitam, Wali Songo dan sebagainya. Jin yang meresap melalui cara ini membolehkan orang yang diresapi itu menunjukkan keajaiban dan perkaraperkara yang luar biasa seperti bercakap dalam bahasa Siam, Jawa, Arab dan sebagainya sedangkan sebelum itu orang tersebut tidak mengetahui sedikit pun bahasa-bahasa tersebut. Punca Lahir Dan Berkembangnya Amalan-Amalan Karut. Dari situ amalan Jahiliah mula bertapak semula dan ianya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sehingga ke hari ini dan seterusnya jika tidak di benteras akan berterusan hingga ke hari kiamat. Amalan yang ada hubung kait dengan puak Jin alam rendah ini pun berpindahlah dari satu jasad ke satu jasad yang lain pada anak cucu cicit pengamal tersebut, yang mana ianya di panggil " SAKA-BAKA " atau " DATUK-NENEK ". Kebiasaannya kesinambungan ini terjadi dengan anak atau keturunan mereka di suruh menggantikan tempat datuk nenek mereka setelah menerima isyarat-isyarat samada melalui mimpi seperti datangnya seorang tua berjubah putih atau orang tua yang berpakaian hitam atau yang menyerupai datuk nenek mereka yang pada hakikatnya adalah jelmaan daripada Jin, yang menyuruh mereka mewarisi ilmu kedukunan, ilmu latihan pertahanan diri, ilmu perbidanan dan sebagainya atau melalui perjanjian yang di terima daripada ibu atau bapanya sebelum mereka meninggal dunia. Bagi anak cucu yang menerima amalan dari datuk nenek mereka, mulailah mereka mematuhi syarat-syarat atau juga di kenali sebagai " Jamu Jin " yang telah ditetapkan itu, mengikut jenis Jin yang mereka sahabati tersebut, antaranya :Syarat dan Alatan Jamu Jin.
Jika Jin Islam yang soleh dari Alam Rendah. Antara syarat-syaratnya yang biasa ialah syarat yang tidak bertentangan dengan hukum syarak yang wajib seperti, tidak boleh meninggalkan sembahyang lima waktu, tidak boleh meninggalkan puasa Ramadhan, patuh dan taat kepada kedua ibu bapa, mesti berbuat baik kepada orang tua, tidak boleh makan dan minum benda-benda yang haram, tidak boleh berjudi dan sebagainya. Pada zahirnya syarat ini nampak baik kerana melaksanakan syariat Allah, tetapi yang menjadi kesalahan pula ialah, ketaatan ini berlaku setelah seseorang itu mengikat janji dengan khadam itu untuk menunaikan hajatnya setelah semua perintah tersebut dilaksanakan dengan sempurna. Jika Jin Islam yang fasik. Antara syarat perjanjian yang mesti dipatuhi ialah terdiri daripada perkara-perkara yang harus di sisi syarak seperti, nasi kuning, ayam panggang, bertih, telur separuh masak, darah ayam hitam, kain yang berwarna, bubur merah ( bubur kacang hijau yang di masak dengan gula merah ), bubur putih, bertih yang di tabur di atas telur dadar, tidak boleh lalu di bawah penyidai kain, memakai pakaian khas seperti warna hijau atau kuning dan sebagainya. Biasanya majlis tersebut diiringi dengan bacaan tahlil dengan menjemput orang ramai kemajlis itu. Meski pun kerja ini baik namun tujuan jamuan itu diadakan adalah bagi memenuhi perjanjian dengan khadam. Perkara dan syarat inilah yang menjadi kesalahan di sisi syarak. Jika Jin yang kafir. Syarat perjanjian yang mesti dipatuhi jika khadamnya terdiri daripada Jin kafir ialah melibatkan perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak seperti, ayam hitam yang di sembelih dengan bulu dan darahnya tidak di buang ( semua bulu-bulu dan isi perutnya tidak boleh di buang merata-rata, di panggang dan diletakkan tertiarap di atas pulut kuning atau pulut putih ), kemian yang di asap untuk memanggil Jin, senjata keturunan seperti keris, lembing, pedang untuk di puja dan sebagainya, darah kambing, semah, sangkak, ancak, upih dan sebagainya. Kebiasaanya upacara seperti ini hanya dilakukan untuk keluarga sahaja atau berseorangan dengan di iringi dengan bacaan serapah, jampi, doa atau kadang kalanya bacaan ayat-ayat suci alQuran. Selepas itu samada " Jamu " itu di beri makan kepada keluarganya atau diletakkan di suatu tempat seperti di bawah pokok besar atau di mana yang diarahkan kononnya untuk makanan roh datuk nenek. Akibat Mematuhi Perjanjian. Dari saat orang yang berkenaan membuat perjanjian, mulailah mereka mematuhi syarat dan perjanjian itu samada dengan mematuhi segala hukum syarak atau mengadakan " Jamu " untuk khadam-khadam tersebut bagi menjaga kepentingan ( amalan keturunan ) dan menjaga keselamatan diri mereka dan kaum keluarga daripada di ganggu oleh jembalang-jembalang keturunan yang pada sangkaan mereka adalah terdiri daripada ruh datuk nenek mereka. Setelah persetujuan di terima atau persetujuan secara keturunan di buat ( melalui zuriat ) terjadilah perkara-perkara yang luar biasa ke atas orang yang membuat perjanjian tersebut, antaranya :1. Tidak sedarkan diri selama beberapa hari , setelah sedar mereka boleh bersyarah tentang agama atau terus boleh mengubati orang sakit yang pelik-pelik dan sebagainya. 2. Mereka boleh mengadakan dan mewujudkan barang-barang seperti kemian yang di dalamnya terdapat cincin atau batu permata atau dapat mengambil barang-barang yang di tanam oleh orang
tanpa pergi ke rumah tersebut dan sebagainya. 3. Boleh dan mahir latihan pertahanan diri walaupun sebelum ini beliau tidak pernah belajar apaapa jenis latihan pertahanan diri. 4. Boleh menjadi Tok Bidan bagi menolong orang perempuan yang hendak bersalin. 5. Boleh menjadi Tok Dukun atau Tok Pawang yang boleh menurun / menyelap dengan mendakwa dirinya sebagai Nabi Khaidir, Syeh Abdul Kadir Jailani, Panglima Hitam, Wali Songo atau Tok Hijau dan sebagainya. 6. Boleh menjadi Tok Keramat yang mahir dan boleh bercakap tentang ilmu-ilmu agama dan mampu melakukan perbuatan yang pelik-pelik dan luar biasa seperti berjalan di atas air, ghaib dan sebagainya. 7. Sesetengahnya jika penerima tersebut adalah perempuan, maka beliau akan disetubuhi terlebih dahulu oleh Jin (khadam ) tersebut sebagai tanda perhubungan telah terjalin. Semua kelakuan dan kebolehan tersebut mengikut apa yang telah mereka warisi daripada perhubungan dengan khadam-khadam yang terdiri samada Jin Islam atau Jin kafir. Setelah perjanjian dipersetujui mulalah mereka mengadakan upacara-upacara tertentu sebagai pemujaan terhadap khadam tersebut, seperti mengadakan majlis jamuan atau tahlil setahun sekali dan di arah mengunjungi kubur kubur yang di anggap orang-orang soleh atau wali-wali Allah dengan membawa makanan tertentu atau seperti yang telah dipersetujui dengan menyajikan makananmakanan khas seperti, pulut kuning, pulut putih, terlur separuh masak, kelapa muda, kemian, ayam panggang, kuih muih yang terdiri daripada 7 jenis,berjenis-jenis dan berbagai-bagai lauk pauk dan sebagainya. Kesan Akibatnya Ke Atas Pengamal Amalan Ini . Sekiranya tidak di lakukan upacara seperti di atas maka segala hajatnya tidak ditunaikan atau si waris atau keluarganya akan mendapat kesusahan dan bencana, samada semasa masih hidup, di saat-saat kematiannya dan setelah kematian. Contohnya seperti :Semasa Masih Hidup a. Hidupnya sentiasa bermasalah b. Berniaga tidak menjadi, buatlah kerja apapun tidak akan berjaya, seolah-olah ada sahaja yang menghalang c. Banyak halangan dalam pekerjaan yang diceburi. d. Sering sakit yang pelik-pelik yang tidak dapat di kesan oleh doktor seperti histeria, gila isim, panas baran, dapat anak yang cacat dan huduh rupanya, selalu tidak sedarkan diri, sakit kepala bila tiba waktu pagi, waktu matahari jatuh, keluarga selalu berkelahi, di ganggu mimpi ngeri dan menakutkan dan sebagainya. e. Hilang anak dalam kandungan hasil tumpangan Jin semasa melakukan persetubuhan dan sebagainya. Di Saat-saat Kematian. Saat kematian orang yang bersahabat dengan Jin biasanya amat menyulitkan kerana kesukaran untuk melepaskan diri daripada khadam Jin yang telah sekian lama menjadi teman karibnya. Antara syarat-syarat untuk kematian atau memudahkan kematiannya iaitu bagi membolehkan Jin khadamnya keluar ialah :a. Perlu membuka perabung rumah b. Mesti mencungkil lantai rumah c. Menyapu sedikit tanah ke muka pesakit d. Membubuh ranting kering di atas dada si sakit
e. Membuat kuih tujuh jenis dan di panahkan ke bukit f. Memecahkan dinding rumah si sakit g. Meletakkan si sakit di rumah kosong. Kematian. Kadang-kadang berlaku juga kejadian yang aneh-aneh ke atas si sakit yang bersahabat dengan Jin ini sewaktu kematiannya. Antara kejadian-kejadian tersebut adalah seperti ;a. Mati sudah dua atau tiga hari tetapi masih kelihatan hidup dan sangat kuat makan, bila sudah mati mayat itu telah berbau busuk dan hampir reput. b. Mayat ditumbuhi bulu yang banyak c. Mayat di bawa lari oleh puak-puak Jin d. Mata dan mulut mayat kelihatan ternganga dan kelihatan ngeri e. Selepas kematiannya kadang kala didapati diri si mati itu ( sebenarnya Jin peliharaannya ) balik semula kerumah dan ada yang tidur serta bersetubuh dengan isterinya. ( yang pada sangkaan isteri si mati, bahawa suaminya itu hidup semula atau bekas suaminya itu keramat atau wali ) f. Sesetengah mayat pula selepas kematiannya hilang di bawa lari oleh Jin peliharaannya ke dalam hutan untuk santapan puak-puak Mereka. Pantang Larangnya. Pewaris keturunan ini atau penerima amalan ini tidak boleh melanggar pantang larang yang telah ditetapkan, kerana akibat yang buruk akan terjadi ke atas dirinya atau ke atas keluarganya. Antara pantang larang tersebut ialah :a. Tidak boleh pakai kain masuk melalui kepala b. Tidak boleh lalu di bawah penyidai kain c. Tidak boleh menziarahi jenazah d. Tidak boleh makan atau minum di kedai orang kafir e. Tidak boleh meninggalkan bacaan serampah atau jampi f. Tidak boleh sembahyang di masjid atau berjemaah g. Tidak boleh masuk ke rumah dengan kaki kanan h. Tidak boleh memakan benda-benda bernyawa dan sebagainya. Ringkasnya dari keterangan-keterangan yang telah di kemukakan di atas jelaslah bahawa berkawan dan bersahabat dengan Jin memberi banyak keburukan kepada manusia samada semasa mereka masih apatah lagi setelah mereka meninggal dunia. Tidak kira apa juga niat dan sebab mereka menjadikan Jin sebagai sahabat atau Khadam mereka. Menurut sesetengah ulama, berkawan denagan Jin boleh menyebabkan manusia dan Jin yang menjadi sahabatnya itu, jika Jin tersebut terdiri dari pada Jin Islam, sama-sama menjadi kafir dan kedua-duanya akan di humbankan oleh Allah kedalam Neraka. Keadaan ini berlaku kerana manusia yang bersahabat dengan Jin merasa Takbur dan lupa daratan kerana mereka memiliki kuasa yang luar biasa yang tidak boleh di miliki oleh manusia lain dan apa-apa yang mereka hajati dapat diperolehi melalui pertolongan Jin tersebut. Mereka juga menganggap mereka lebih berkuasa daripada Allah dan menyuruh manusia lain meminta pertolongan hanya kepada mereka sahaja Perbuatan ini menyebabkan mereka Syirik kepada Allah kerana meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah, sedangkan Syirik merupakan suatu dosa yang amat berat dan tidak akan di ampun oleh Allah. Manakala Jin yang menjadi Khadam manusia, menjadi kafir pula kerana mereka juga telah Takbur kepada Allah kerana seronok di sanjung dan di puja oleh manusia. Kadang-kala Jin tersebut juga mengaku mereka adalah tuhan dan menyuruh manusia menyembahnya dengan mengadakan
majlis-majlis tertentu seperti Jamu Jin setahun sekali, kenduri, sembelih kambing, korbankan sesuatu kepada Jin dan sebagainya, jika inginkan pertolongan dari mereka. Contoh-Contoh Penyakit Ada Kaitan Jin. 1. Penyakit akibat daripada keturunan. Kadang-kala terdapat juga sesetengah orang yang mengalami sakit akibat daripada keturunan atau lebih tepat lagi penyakit yang diakibatkan oleh saka-baka. Penyakit ini adalah disebabkan oleh keturunan mereka, samada datuk, nenek, moyang atau terdapat salasilah keturunan mereka yang membela atau bersahabat dengan Jin, pada suatu masa dahulu, dan apabila mereka meninggal dunia tiada siapa yang sanggup mewarisi Jin belaan tersebut atau keturunannya tidak mengetahui bahawa datuk nenek mereka ada bersahabat atau membela Jin, lalu mereka mati sebelum sempat membuang Jin peliharaan tersebut. Kebanyakan daripada kita tidak mengambil berat malahan tidak tahu asal usul keturunan mereka atau peranan datuk nenek kita di zaman dahulu, di dalam masyarakat mereka pada ketika itu. Terdapat sesetengah daripada orang-orang tua kita di zaman dahulu yang membela dan bersahabat dengan Jin. Mereka bersahabat dengan Jin dengan berbagai-bagai tujuan, seperti mana yang telah dinyatakan di bab-bab yang lepas. Selain daripada itu mereka juga membela Jin untuk menjaga dan mengawasi harta benda mereka daripada di curi orang, kerana pada masa itu belum terdapat polis dan sebagainya. Ada juga yang menggunakan perkhidmatan Jin untuk membuka kampung, dusun, kebun dan sebagainya, jadi Jin inilah yang akan bekerja menebas dan sebagainya untuk tuannya itu. Kerana pada waktu itu belum terdapat jentera moden dan peralatan yang canggih-canggih. Untuk mendapatkan perkhidmatan dan bersahabat dengan Jin, mereka akan membuat berbagaibagai perjanjian dan " jamu "an serta upacara pemujaan Jin. Setelah perkembangan teknologi dan terciptanya alat-alat moden dan ditambah lagi dengan kesedaran agama yang semakin mendalam di kalangan orang-orang Melayu sekarang, maka dengan itu perkhidmatan Jin-Jin tersebut tidak lagi diperlukan. Dengan itu anak-cucu dan keturunan orang yang membela Jin tersebut tidak lagi melakukan upacara-upacara men" jamu " Jin sebagaimana datuk nenek mereka dahulu, bahkan mereka juga telah terlupa ataupun tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Jadi Jin-Jin tersebut akan sentiasa mengawasi dan menunggu peluang dan masa untuk menggangu keturunan tuannya, demi menuntut supaya mereka di puja dan di " jamu " sebagaimana pada zaman datuk nenek keturunan tersebut. Jin tersebut akan mencari dan menggangu keturunan tuannya selama-lamanya, selagi keturunan tersebut tidak membuang Jin belaan tersebut. Dalam keadaan biasa Jin tersebut tidak menggangu keturunan tuannya, tetapi jika terdapat salah seorang daripada ahli keluarga keturunannya itu, di ganggu atau dianiayai oleh orang lain dengan menggunakan Jin, maka Jin keturunan tersebut akan datang membantu. Tetapi Jin keturunan tidak dapat melakukan apa-apa kerana cucu cicit tuannya tidak tahu untuk mengadakan upacara bagi membela dan memanggil Jin tersebut, tambahan lagi mereka juga tidak mengetahui wujudnya Jin belaan datuk nenek mereka yang sentiasa mengawasi dan mengikuti perkembangan keluarga mereka. Pada ketika itu Jin keturunan tersebut pula yang akan bersama-sama dengan Jin yang di hantar untuk menaniayai ahli keluarga tersebut. Jin yang di hantar dan Jin keturunan sama-sama akan menggangu keluarga tersebut, malahan gangguan Jin keturunan tersebut lebih kuat daripada Jin yang dihantar oleh orang yang khianat itu. Jika orang yang mengalami gangguan tadi berubat, maka penyakit yang di akibatkan oleh Jin yang di hantar oleh orang yang mengkhianati keluarga tersebut akan lari dan penyakit yang diakibatkanya juga akan sembuh, tetapi penyakit yang diakibatkan oleh Jin keturunan tersebut
tidak akan sembuh, walaubagaimana diubati pun, melainkan jika Jin keturunan tersebut dibuang daripada keturunan keluarga tersebut. Kebanyakan penyakit yang diakibatkan oleh Jin keturunan ini pelik-pelik dan tidak boleh di ubati oleh kepakaran dan kebijaksaan pihak doktor dan hospital, kerana jika di lakukan pemeriksaan di hospital, doktor akan mengatakan bahawa pesakit tersebut normal dan tidak mengalami apa-apa penyakit. Sedangkan pesakit tersebut menderita kesakitan yang sukar digambarkan oleh sesiapa, kecuali orang yang pernah mengalaminya sendiri. Tanda-tanda adanya penyakit keturunan. Terdapat tanda-tanda orang yang mempunyai keturunan daripada pembela atau orang yang bersahabat dengan Jin, walaupun mereka tidak mengalami penyakit dan sebab-sebab seperti yang telah dinyatakan di atas. Sebagai panduan, kebiasaannya orang yang ada penyakit keturunan itu akan mengalami salah satu atau kesemua daripada tanda-tanda di bawah, antaranya :a. Mudah terkena Rasukan f. Panas Baran b. Cemburu g. Was-was dalam melakukan pekerjaan c. Iri hati h. Suka berkelahi / bergaduh d. Jahat Sangka i. Ada halangan dan sekatan dalam pekerjaan e. Selalu mimpikan orang minta adakan jamuan atau makan Pengkelasan Keturunan. Secara ringkasnya kebanyakan daripada keturunan-keturunan di bawah kadang-kala bersahabat atau membela Jin, demi untuk mencapai hasrat dan membantu pekerjaan mereka dalam masyarakat. Keturunan-keturunan tersebut antaranya ialah :a. Keturunan Raja f. Keturunan Syed Malam Jumaat b. Keturunan Panglima g. Keturunan Hulubalang c. Keturunan Tok Bomoh h. Keturunan Mak Bidan d. Keturunan Mudim i. Keturunan Penjaga Kampung e. Keturunan Mak Andam j. Keturunan Guru latihan pertahanan diri. 2. Gila. Gila yang diakibatkan oleh rasukan Jin ini terdapat berbagai-bagai jenis. Antara yang sering terjadi ke atas orang-orang Melayu ialah :i. Gila Babi atau gila yang seumpamanya. Penyakit gila babi sering di kaitkan dengan babi sebab, apabila didatangani penyakit tersebut, pesakit itu suka menyondol nyondol seperti Babi dan jika dibiarkan mereka akan masuk kedalam air dan besar kemungkinan akan mati lemas. Penyakit gila seperti ini kebiasaannya ada kaitan dengan keturunan atau saka baka yang berpunca dari kerasukan Jin. Biasanya benih manusia jenis ini sudah bercampur dengan benih Jin keturunannya semasa jatuh benih ketika si ibu dan bapa melakukan persetubuhan. Walaupun mereka telah membaca doa seperti yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w, namun oleh kerana Jin tersebut telah sedia ada dalam diri orang tersebut melalui saka baka dan keturunan tadi, maka Jin atau saka baka tadi tidak mudah meninggalkan mereka, melainkan saka-baka atau Jin tersebut telah di buang dari keluarga tersebut. Maka hasil dari situ lah terdapat ramai dari kalangan orang Melayu yang mendapat anak yang cacat luar biasa, gila dan sebagainya. ii. Gila Mereyam
Gila mereyam sering berlaku ke atas perempuan-perempuan yang baru lepas bersalin. Orang sering mengaitkan gila mereyam disebabkan oleh batu meriyam yang tidak masuk kembali pada tempat asalnya. Mengikut Sinseh Cina batu meriyam itu di kenali sebagai Black Stone atau batu Hitam yang menurut mereka , apabila batu itu naik ke kepala akan menyebabkan seseorang perempuan menjadi gila. Gila yang disebabkan oleh batu meriyam ini paling ringan ialah perempuan berkenaan akan suka berbedak atau bersolek, walaupun baru melahirkan anak dan berkelakuan luar biasa. Antara yang paling teruk ialah mereka sanggup memukul orang atau lari dari rumah dan berkeliaran di atas jalan-jalan raya atau merayau-rayau di merata tempat. ( Gila ini biasanya tiada kaitan dengan Jin ) iii. Gila Isim Gila Isim adalah disebabkan orang tersebut beramal dengan ayat-ayat yang di terima tanpa melalui guru. Punca gila ini adalah panas yang disebabkan oleh khadam penjaga ayat tersebut daripada gulungan Jin yang menggangunya. Gila jenis ini sering berlaku kepada mereka yang menuntut sesuatu ilmu atau beramal dengan sesuatu ilmu tanpa salasilah yang sahih, iaitu tanpa melalui guru yang muktabar sehingga kepada Rasulullah s.a.w. iv. Gila Kena Rasuk / Gila akibat Sihir. Kedua-dua jenis gila di atas adalah disebabkan Jin samada Jin yang di suruh oleh tuannya atau Jin yang tidak bertuan. Kadang-kadang mereka yang terkena jenis ini agak aggresif dan suka memukul orang jika di ganggu atau cuba di ubati.
TOK BOMOH
Pengertian Tok Bomoh. Tok Bomoh menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi yang tertentu dan sebagainya. Termasuk juga dalam istilah ini ialah Tok Pawang dan dukun. Pecahan-pecahan Tok Bomoh. Tok Bomoh dalam masyarakat Melayu secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada beberapa pecahan dan bidang mengikut kepakaran masing-masing. Antara yang terkenal ialah :a. Tok Bomoh Kayap Tok Bomoh Kayap biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti daun sireh, kapur makan, pinang dan sebagainya. b. Tok Bomoh Santau Tok Bomoh Santau biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti tanah liat, bawang merah, sireh pinang dan sebagainya. c. Tok Bomoh Barah Tok Bomoh Barah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti telur ayam, akar lalang, sireh pinang dan sebagainya. d. Tok Bomoh Patah Tok Bomoh Patah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak, daun mengkuang, air telaga dan sebagainya. f. Tok Bomoh Ekor Tok Bomoh Ekor biasanya menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu dan jampi serapah menyeru Jin dalam usaha untuk menghadirkan nombor ekor yang diingininya. Manakala peralatan yang sering digunakan ialah seperti telur ular tedung, cawat besi, keris atau senjata lama dan sebagainya. g. Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit. Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat AlQuran dan mentera-mentera tertentu dalam usaha mereka menarik duit atau mencari harta karun yang tersembunyi di mana-mana. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti stareka cap kepala ayam, talam tembaga, batu delima merah, lesong batu berlubang, keris samar kucing dan sebagainya. h. Tok Bomoh Urat/urut
Tok Bomoh Urat dan urut mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak angin, air telaga dan sebagainya. . i. Tok Bomoh Budak, Tok Bomoh kecil dan sebagainya Tok Bomoh budak, Tok Bomoh kecil yang boleh berubat berbagai-bagai jenis penyakit yang pelikpelik tanpa belajar dari mana-mana, walaupun beliau masih kecil dan belum akhil baligh. Senarai di atas adalah merupakan sebahagian daripada pecahan-pecahan Tok Bomoh dalam istilah masyarakat Melayu. Walaupun begitu masih banyak lagi pecahan Tok Bomoh yang tak dapat di terangkan dan dimasukan dalam tulisan ini kerana terlalu banyaknya pecahan tersebut. Cara-cara menjadi Tok Bomoh dan seumpamanya. Untuk menjadi Tok Bomoh dan sumpamanya, adalah melalui berbagai jalan dan caranya yang tertentu. Antaranya :a. Melalui warisan dari keturunan datuk neneknya atau melalui saka-baka, di mana datuk nenek atau keturunanya yang terdahulu pernah menjadi Tok Bomoh yang terkenal dan apabila mereka meninggal dunia maka ilmu perbomohan itu menurun atau mengalir terus ke dalam tubuh anakcucu mereka pula. b. Mereka didatangi oleh Khadam yang menyerupai datuk neneknya dalam mimpi yang memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi -jampi atau mentera-mentera tertentu. Setelah diamalkan ayat-ayat atau jampi tersebut maka datanglah khadam-khadam tertentu untuk memberi pertolongan. c. Melalui bacaan wirid, ayat, jampi, serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkanya. d. Melalui amalan-amalan latihan pertahanan diri tertentu, ataupun daripada ilmu perlatihan pertahanan dirian yang dituntutnya. e. Melalui pertapaan atau uzlah di tempat-tempat tertentu seperti di dalam gua, di muka kuala, di dalam hutan dan sebagainya sehingga dikunjungi oleh khadam-khadam yang bersyarat bagi menghasilkan hajatnya. f. Melalui pembelajaran dan penerimaan daripada guru-guru yang mempunyai khadam atau yang diamalkanya melalui kitab-kitab tertentu secara bersendirian. g. Meniru tanpa berguru iaitu samada belajar dari kitab atau melihat cara orang lain berubat lalu di tirunya.
KESESATAN DALAM PERUBATAN
Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan Tok Bomoh dan seumpamanya. Kesesatan tersebut bolehlah dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama antaranya :1. Sesat Tok Bomoh, Tok Dukun, Tok Pawang, Mak Bidan dan Mak Andam dan seumpamanya Kesesatan yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir. Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :a. Melalui Jampi, mentera dan serapah. Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan bacaan Basmallah …………. Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :Amalan Batin. " Bismillahirrahmanirrahim." Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson, aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining, sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro, berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah. Serapah lekat Tulang. " Bismillahirrahmanirrahim." Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku, kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang, kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah. Serapah menepung Tawar " Bismillahirrahmanirrahim." Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah. Mentera Menepung Tawar. " Bismillahirrahmanirrahim." Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong, kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi,
batang wong batang wang batang terkendong, ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas, siapa yang melepas, dalam asal punya melepas, siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas, siapa punya melepas, sema putih punya melepas, siapa punya melepas, sema hitam punya melepas, Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh, pelepas kata dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah. Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terangterang telah melakukan perbuatan syirik kerana menyamatarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah. Melalui Perbuatan / Kelakuan. i. Kesesatan Tok Bomoh. Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan mereka yang di panggil " Tanasakhul Aruah " semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut. Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lainlain pendapat yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam, yang menyatakan bahawa aruah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan. Demikian juga yang dilakukan oleh Mak Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak sedarkan diri. Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai , masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara Khurafat yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita. Sedangkan sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah Nabi s.a.w. ii. Kesesatan Tok Guru Latihan Pertahanan Diri. Kesesatan boleh berlaku ke atas tok guru latihan pertahanan diri atau pendekar seni pertahanan diri jika mereka melakukan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh syarak. Antaranya :a. Melalui kaedah " Mubai’at yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah-sumpah yang bertujuan kepada hikmah dan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.
b. Melalui petua-petua atau kaedah yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak. c. Melalui petua-petua atau kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat. d. Melalui petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada Allah. e. Tidak tahu asal usul ilmu yang dipelajarinya itu dan yang diajarinya kepada orang lain. Kebiasaanya tok guru latihan pertahanan diri juga merupakan Tok Bomoh kerana di samping beliau mampu berlatihan pertahanan diri beliau juga biasanya mampu mengubati orang sakit. Kesalahan besar yang telah dilakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang sesat ini ialah sudahlah diri mereka sendiri telah tersesat melalui amalan-amalan yang sesat itu, kemudian mereka mengajarkan pula ilmu sesat itu kepada anak-anak muridnya, yang bukan saja mengamalkan ilmu tersebut, malahan juga akan turut tersesat sama. Jika kumpulan ini terus mengembangkan ilmu tersebut maka akan bertambah ramai lagilah orang yang akan tersesat. Kesalahan yang sering mereka lakukan ialah dari segi penggunaan jampi dan mentera yang digunakan dalam kebanyakan latihan pertahanan diri terdapat seruan-seruan terhadap bantuan Jin bagi memulakan latihan. Berbagai-bagai bentuk mentera dan jampi digunakan dalam pelbagai jenis latihan pertahanan diri, antaranya menyeru roh Panglima Hitam, atau roh-roh panglimapanglima yang lain samada Hang Tuah atau Hang Jebat dan sebagainya. Kesesatan dalam perbuatan dan permainan latihan diri pula ialah, terdapat sesetengah latihan pertahanan diri itu yang mensyaratkan pelatih pertahanan diri mestilah tidak sedarkan diri terlebih dahulu sebelum boleh menzahirkan perkara-perkara yang luar biasa, seperti melayang diatas pucuk pokok kayu, boleh melekat di dinding seperti cicak, boleh bertenggek di atas pucuk pisang seperti katak dan sebagainya. Perbuatan seperti itu sebenarnya menyalahi syarak kerana rohani Jin telah masuk kedalam tubuh pelatih pertahanan diri tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pemulihan pula dilakukan dengan membaca jampi dan mentera tertentu oleh tok guru latihan pertahanan diri tersebut. Setelah sedar pelatih itu tidak ingat apa-apa dan merasa letih yang amat sangat. iii. Kesesatan Ulama. Ulama boleh menjadi sesat sekiranya mereka berhubung dengan khadam-khadam tumpangan yang terdiri daripada rohani Jin Islam atau Jin kafir alam rendah yang datang mengikut perjanjian penerimaan persahabatan, samada melalui mimpi atau jaga, melalui wirid, jampi, doa dan seumpamanya. Bermula dari situ ulama tersebut menjadi popular dan akan di kunjungi oleh orang ramai bagi meminta pertolongan seperti sembahyang hajat, mengubati penyakit, memberi kuliah-kuliah agama dan sebagainya. Lazimnya ulama-ulama yang terjebak dalam persahabatan dengan Khadam-khadam ini, sebenarnya mereka tertipu dan di tipu dengan syarat-syarat yang menepati hukum syarak yang didatangkan oleh khadam-khadam tersebut atau terpedaya dengan ketinggian ilmu, kealiman, kewarakan, kesolehan, ketinggian kelulusan atau pangkat kebesaran. Mereka hanya meniru sahabat-sahabatnya yang ahli dalam babnya. Dimana mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka hanya alim dalam ilmu zahir dan ilmu-ilmu tertentu sahaja, tapi pada pandangan umum keilmuan mereka sudah lengkap dan mengcakupi dalam semua segi. Mereka harus sedar bahawa dalam diri mereka masih ada lagi sifat-sifat mazmumah Dari satu segi perbuatan tersebut memang kelihatan baik dan tidak terdapat apa-apa kesalahan, tetapi yang menjadi kesalahan dan menyesatkan pula ialah cara ulama tersebut menerima amalan dan pertolongan tersebut. Mereka menerima pertolongan daripada khadam Jin dan mereka pula memberi pertolongan kepada orang lain melalui bantuan khadam-khadam mereka.
Ulama-ulama jenis ini berselindung di sebalik keulamakan yang ada pada mereka, kerana kepentingan dan keegoan diri serta mempunyai sikap yang buruk. Kadang-kala mereka menggunakan kedudukan mereka untuk cuba menyebarkan fahaman dan kaedah perubatan mereka itu, sedangkan mereka tidak sedar yang mereka telah diperbudak-budakkan oleh puakpuak Jin yang pintar menipu manusia itu. Kesesatan Yang Dilakukan Oleh Orang Yang Berubat. i. Memuja Kubur-kubur yang di anggap Keramat. Terdapat sesetengah daripada orang Melayu memuja kubur-kubur yang di anggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi mengubati penyakit yang di alaminya. Sebenarnya kubur tersebut tidak dapat memberi apa-apa pertolongan dan kesan kepada penyakit mereka. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya meminta pertolongan hanya kepada Allah. Di samping perbuatan mereka itu juga tidak ada bezanya dengan amalan orang-orang Hindu dan Buddha. Menziarahi kubur sebenarnya tidaklah salah atau menjadi satu kesalahan, bahkan sunat bagi umat Islam menziarahi kubur kedua ibu bapa , sanak saudara, keluarga, sahabat handai, tok-tok guru, alim ulama, para syuhadak dan orang-orang saleh, tetapi mengadakan pemujaan atas kubur tersebut, dengan mengadakan sesuatu upacara tertentu atau khusus di luar batasan syarak, itulah yang menjadi kesalahan dan kadang-kala boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad dengan tidak disedari. Waliyazubillahi min zalik. Antara contoh perbuatan memuja kubur yang dianggap kubur Tok Keramat yang berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti memuja kubur Mak Bidan Tetek Lanjut di Taiping, memuja kubur Tok Temong di Temong, Kati, Kuala Kangsar, Memuja kubur-kubur di Pulau Besar, Melaka. Mak Bidan Tetek Lanjut yang di puja itu tidak siapa pun yang mengetahui asal usul dan kesolehannya. Jadi mengunjungi kuburnya dengan sesuatu tujuan, membayar nazar dan niat adalah merupakan perbuatan bidaah dholalah yang haram semata-mata, kerana menganggapnya keramat dengan membawa pisang, pulut kuning dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapat berkat dan sebagainya. Manakala pemuja Kubur Tok Temong di Kati pula, pengunjung-pengunjung mengunjunginya dengan tujuan untuk menunaikan hajat dengan membawa pulut kuning, ancak, kemian, serta mengadakan tahlil di kubur tersebut bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ada juga pengunjungnya yang menyembelih ayam dan di niatkan darah dan tulang ayam itu adalah untuk makanan Jin penunggu Tok Temong. Tidak ketinggalan kubur tersebut juga di kunjungi oleh sesetengah guruguru latihan pertahanan diri dan pengikut mereka untuk mengambil berkat dan lain-lain yang seumpamanya. Mengikut sejarah Tok Temong hanyalah merupakan pemerintah asal kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar sahaja. Pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar di Melaka pula menganggap kebanyakan kubur-kubur di Pulau tersebut adalah kubur wali-wali Allah yang keramat. Sebenarnya kubur-kubur di pulau tersebut banyak yang kosong tanpa penghuni. Hanya orang yang tidak tahu menilai kebenaran sahaja yang mahu mengunjunginya. Mereka di tipu oleh kumpulan-kumpulan Jin yang mendiami pulau tersebut dan memberitahu mereka melalui mimpi supaya dibangunkan kubur-kubur untuk pemujaan. ii. Pengeras / Upah. Kebiasaan pengeras yang ditetapkan oleh sesetengah Tok Bomoh adalah berlainan. Ada yang menetapkan seperti lima ringgit suku dengan jarum tiga batang dan garam setahil. Sesetengah pengeras pula dengan membawa sireh bertemu urat sebanyak tujuh helai, kapur dan pinang. Ada
juga yang menetapkan pengerasnya dengan buah kelapa masak, beras secupak dan minyak kelapa. Jika membuang barang hikmat yang tertanam upahnya adalah sekali ganda dari upah yang dikenakan oleh orang yang menanamnya, contohnya kalau RM 100.00 jadi RM 200.00 dan sebagainya. Ada juga yang mengenakan pengeras atau upah sampai beribu ringgit mengikut kemampuan dan kemampuan pesakit. Terdapat juga Tok Bomoh yang menetapkan upah sekadar ikhlas pesakit sahaja. Kesalahan dan kesesesatan yang berlaku dalam keadaan ini ialah apabila pesakit tersebut percaya jika tidak menyediakan pengeras seperti yang di minta oleh Tok Bomoh itu maka penyakitnya tidak akan sembuh atau sukar untuk disembuhkan atau menganggap pengeras yang disediakan itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh. Sebenarnya mengambil upah berubat dan menjampi dengan ayat-ayat Al-Quran , Selawat-selawat Nabi dan susunan ayat-ayat yang baik adalah diharuskan oleh syarak, berdasarkan suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqas. iii. Pemutus Ubat. Pemutus ubat bermakna menamatkan rawatan dengan Tok Bomoh tersebut setelah pesakit sembuh dari penyakit yang di alaminya. Kononnya kalau tidak " putus ubat " penyakit itu akan kembali semula. Berbagai jenis dan syarat amalan pemutus ubat diminta dan dikenakan oleh Tok Bomoh, antaranya seperti :a. Pesakit mesti menyembelih seekor ayam hitam, sepinggan pulut putih atau kuning dan sebiji telur dadar yang diletakkan di atas pulut tersebut. b. Melepaskan ayam hitam di tepi hutan dengan niat tertentu c. Mandi di kolah masjid tertentu sebanyak 3 atau 7 kali d. Membuat kenduri aruah dan di antara persiapannya ialah kemian yang di bakar, pulut kuning dan lain-lain kuih muih dan sebagainya. Apabila seseorang itu yakin dan mempercayai serta berittikad bahawa tok-tok Bomoh atau doktor-doktor itulah yang menyembuhkan penyakit dengan ikhtiar dan usaha mereka atau melalui ubat-ubatan dan jampi-jampian mereka yang memberi bekas dalam menyembuhkan penyakit itu, ini bererti dia telah menyediakan dirinya jatuh kedalam murtad, kerana ia telah berpegang teguh dengan keyakinan tersebut sehingga menjadi satu ittikad bahawa sebab beradat yang Allah telah datangkan itu memberi bekas dalam menghasiklan sesuatu.
TANDA-TANDA PERUBATAN TOK BOMOH YANG MENGGUNAKAN KHADAM/JIN
Kebanyakan daripada orang-orang Melayu sangat mempercayai Tok Bomoh sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara Tok Bomoh yang hak dan yang batil ( yang menggunakan pertolongan Khadam dalam pengubatan mereka ). Keadaan ini berlaku kerana mereka jahil tentang ajaran Islam yang sebenarnya, oleh itu mereka mudah di tipu oleh lakunan yang dimainkan oleh Tok Bomoh palsu ini. Sebagai panduan diperturunkan serba ringkas contohcontoh Tok Bomoh yang menggunakan pertolongan khadam dalam pengubatan mereka. Antara tanda-tanda tersebut dapat kita lihat melalui salah satu dari perkara-perkara berikut, antaranya :a. Cara berpakaian semasa mereka berjampi Biasanya semasa berjampi Tok Bomoh atau Tok Pawang yang bersahabat dengan khadam ini memakai pakaian khas, antaranya seperti :i. Memakai baju dan seluar yang bewarna hitam dengan melilit kain hitam di kepala atau memakai tengkolok bewarna hitam dan sebagainya. ii. Memakai jubah. Kadangkala bewarna putih dan kebiasaanya bewarna kuning, kononnya dia dari keturunan raja. Terdapat juga yang memakai jubah hijau kononnya beliau bersahabat dengan Jin Islam. iii. Terdapat juga yang berpakaian baju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok atau berketayap. iv. Ada juga yang berambut panjang, yang kononnya beliau berketurunan dari Jawa, Sumatera dan sebagainya. b. Mengubat Pesakit dengan Cara Menurun/Menyelap. Sebelum menurun biasanya Tok Bomoh akan membaca beberapa serapah, jampi atau mentera tertentu dan ada kalanya membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terdapat juga yang memegang keris dan mengasapkanya pada asap kemian. Dalam beberapa saat sahaja masuklah Jin ke dalam tubuh Tok Bomoh tersebut. Ada yang mengeletar, ada yang berguling-guling dan sebagainya, ketika di masuki oleh Jin khadam mereka itu. Suara dan raut wajah mereka juga akan bertukar. Sesetengahnya kelihatan sangat tua dan berkedut, manakala suara mereka juga terketar-ketar dan sangat perlahan dan adakalanya susah untuk di fahami, ini kerana Jin sahabat mereka itu sudah tua. Matanya kadang-kala pejam dan suka tunduk ke bawah. Suara juga sudah berubah dan mengikut jenis dan dari tempat mana Jin itu berasal. Kalau Indonesia, ia akan bercakap bahasa Indonesia atau bahasa Jawa, begitulah seterusnya. Biasanya ucapan Jin tersebut di mulai dengan katanya " Assalamualaikum, apa hajat cucu ku datang ke mari / memanggil ku ? " c. Tanpa Menurun / Menyelap Terdapat juga Tok Bomoh yang mempunyai khadam daripada gulungan Jin yang memanggil Jin khadam mereka tanpa menurun. Cara rawatan tersebut dapat dilakukan dengan berbagai cara antaranya :a. Dengan meletakkan air, limau dan sintuk atau barang-barang lain yang difikirkan perlu di hadapannya. b. Terdapat juga Tok Bomoh jenis ini yang menilik terlebih dahulu, seperti dengan menggunakan limau dan menggolekkanya atau membelahnya kemudian dilepaskan kedalam air dan melihat limau tersebut samada terbalik atau tertiarap. Mereka juga kadangkala menggunakan mangkuk
putih yang diisikan dengan air sambil menilik dan membuat ramalan. Terdapat juga Tok Bomoh yang menggunakan jarum yang diletakkan di atas air dan jarum tersebut akan berpusing dan sebagainya. d. Membelah Batin. Pertolongan daripada khadam juga digunakan oleh Tok Bomoh-Tok Bomoh yang dapat membelah batin pesakitnya tanpa menggunakan sebarang alatan pembedahan seperti pisau dan sebagainya. Walaupun kadang-kala Tok Bomoh jenis ini juga menggunakan pisau tetapi tiada kesan luka yang dapat di lihat di badan pesakit. Pesakit akan merasai seolah-olah seperti di bedah dan dapat merasai kesan darah dan sebagainya. Setelah selesai melakukan pembedahan batin ini, Tok Bomoh tersebut biasanya akan menggunakan daun sireh atau limau nipis untuk menyempurnakan pembedahan ghaibnya. Sebenarnaya kita boleh menggunakan Khadam dalam melakukan pekerjaan kita dengan syaratsyarat berikut, antaranya :1. Tidak terikat dengan mana-mana syarat daripada Khadam 2. Tidak menggunakan Tanasukh Aruah ( Menurun ) 3. Kelakuan yang tidak menyalahi syarak ketika melakukan rawatan 4. Perawat telah mantap pegangan dan kefahaman Akidah, Akhlak dan Syariat. Sebenarnya tidaklah salah jika kita ingin menjadi Tok Bomoh, tok dukun atau Mak Bidan, malahan Islam juga menggalakkan umatnya menceburi Bidang tersebut, kerana Bidang tersebut merupakan salah satu daripada Fardhu Kifayah tetapi biarlah cara dan amalan serta kaedahnya itu merupakan sesuatu yang diharuskan oleh syarak dengan mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, bukannya yang di terima melalui mimpi, menggunakan pertolongan khadam yang terdiri daripada para Jin dan sebagainya. Tok Bomoh yang Makan Upah. Terdapat sejenis Tok Bomoh lagi yang amat bahaya dalam masyarakat Melayu, yang kerjanya hanyalah untuk menimbulkan kesusahan dan huru hara kepada orang lain. Tok Bomoh jenis ini lebih di kenali sebagai Tok Bomoh yang makan upah. Tok Bomoh jenis ini kebiasaannya mempunyai khadam daripada golongan Jin Islam yang fasik dan Jin Kafir serta kuncu-kuncu mereka. Mereka menggunakan perkhidmatan Jin-Jin tersebut untuk menganiayai manusia lain atas sebabsebab tertentu, antaranya seperti iri hati, hasad dengki atau cemburu atas kejayaan orang lain samada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, persekolahan atau marah kepada orang atasan kerana tidak terpilih untuk kenaikan pangkat atau tidak memenangi tender dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang menggunakan Tok Bomoh jenis ini bagi membalas dendam sebab sakit hati kerana di hina, di kutuk atau kerana senda gurau yang berlebihan. Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan perkhidmatan Tok Bomoh ini semata-mata kerana marah atau benci kepada orang lain di sebabkan kekayaan orang tersebut atau iri hati melihat orang tersebut lebih berada daripadanya atau marah kerana kesombongan orang lain terhadapnya dan lain-lain lagi, Kebanyakan kes yang dijadikan alasan oleh sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini kebiasaanya berhubung dengan masalah rumah tangga contohnya seperti untuk menundukkan suami atau isteri yang terlalu garang, meruntuhkan rumah tangga orang lain, supaya dirinya nampak cantik dan di sayangi oleh suami ( dalam kes si suami yang
berpoligami ), kerana pinangannya di tolak oleh pihak keluarga wanita atau kekasihnya di rampas oleh lelaki lain dan sebagainya. Cara-cara Untuk Melakukan Penganiyaan. Terdapat berbagai cara yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka. Antaranya :a. Menanam barang-barang Hikmat Setelah mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini orang tersebut mestilah menanam barang-barang tertentu yang telah di puja dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti minyak dagu, minyak berpuja ( minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, di selit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia di tabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya. b. Memuja gambar Terdapat juga cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar, alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang. c. Tuju melalui angin/makanan Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang di sakiti dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh dengan di tuju dan di kasadkan kepada orang yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat kedalam makanan dan minuman seseorang. d. Memuja Patung sebagai penganti orang yang di aniayai Pemujaan patung yang di puja dan dikasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dang sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan. Kesan dan Akibat ke atas diri mangsa. Setelah syarat-syarat yang di minta oleh Tok Bomoh makan upah ini di penuhi dan semua peraturannya diikuti maka akan berlaku sesuatu keatas orang yang dihajati oleh si pengupah tersebut. Antara kesan dan tanda-tanda bahawa seseorang tersebut telah menjadi mangsa Tok Bomoh makan upah ini ialah antaranya :35
a. Badan sentiasa sakit menyucuk-nyucuk, anggota terasa panas, bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, badan terasa kebas dan sebagainya. b. Perasaan menjadi resah dan gelisah, tidak boleh tidur malam, sering bermimpi yang buruk dan mengerikan, terdapat lebam-lebam bewarna biru seperti kena tokok ditempat-tempat tertentu pada badan. c. Orang yang dianiayai akan menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya. d. Sering meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri. e. Mengalami sakit kepala sebelah samada di sebelah kanan atau kiri. f. Rahim terasa sakit dan kadang-kala terasa seperti hendak jatuh g. Badan terasa berat seperti ada benda di atas belakangnya dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya. h. Sentiasa terkenang atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah. i. Tidak boleh duduk dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut. j. Selalu tidak sedarkan diri dan pengsan. k. Kadang-kala si mangsa berbau busuk di merata-rata tempat. l. Perut mangsa menjadi buncit tanpa apa-apa penyakit. ( kata orang busung ) m. Kadang-kala kemaluan dirasakan telah berpindah ketempat lain seperti berada di dahi, sedangkan orang lain tidak dapat melihatnya. n. Terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan " kamu akan mati tidak lama lagi dan sebagainya. o. Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku. p. Sentiasa menolak pinangan yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna mereka enggan berkahwin sampai ke tua. Tok Bomoh yang mengambil upah untuk menganiayai orang lain ini amatlah besar dosanya dan telah menjerumuskan dirinya kelembah kekafiran begitu juga orang-orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh-Tok Bomoh dari jenis ini. Kedua-dua belah pihak sama-sama menjadi kafir dan akhirnya sama-sama akan dihumbankan kedalam neraka di hari Khiamat kelak. Oleh itu sebagai umat Islam kita mestilah menjauhkan diri daripada Tok Bomoh-Tok Bomoh yang seperti ini. Anggaplah segala sesuatu yang berlaku keatas diri kita itu adalah merupakan takdir dan Qada dan Qadar daripada Allah. Semua kejadian itu adalah atas kehendak Allah, tentu ada hikmah dan nikmat di sebalik semua kejadian tersebut, jangan suka menaruh perasaan dendam, cemburu dan iri hati, kerana perasaan tersebut akan merusakkan diri kita sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah serentak melalui lidah, anggota, hati yang dinamakan dengan ucapan doa, teguh cita-cita dan usaha ikhtiar, kerana Dialah yang lebih berkuasa dan lebih Mengetahui segalagalanya. Mempelajari ilmu Sihir, beramal dengannya untuk menyakiti dan mengkhianati sesama manusia, bererti mereka telah mempelajari ilmu sesat ( kufur ), berada dalam kesesatan ( kekufuran ), beramal dengan kesesatan ( kufur ), mati dalam sesat ( kufur ) dan kekal sebagai ahli neraka, selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Islam dengan ucapan dua khalimah syahadat serta taubat nasuha. Segala amalan baiknya itu akan dipindahkan oleh Allah kepada orang yang dikhianatinya. Segala kejahatan mereka yang di sihir itu di campakkan oleh Allah keatas diri penyihir sebagai tambahan kepada kejahatan yang sedia ada. Jika ditakdirkan mereka yang dianiayai itu meninggal dunia, oleh sebab beradat melalui ilmu sihirnya, maka mati orang yang di sihir itu sebagai ahli fitrah ( syurga ) dengan syarat dia telah menerima penyakit tersebut dengan penuh sabar dan bergantung harap kepada kebesaran dan keagungan Allah dengan penuh kesabaran dan penuh redha. Pengaruh dan penglibatan Tok Bomoh dalam Adat Istiadat Orang Melayu Dan Amalan-amalan Khurafat.
Orang Melayu kebanyakannya begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah Melayu yang menyatakan " Biar Mati Anak Jangan Mati Adat " . Pepatah ini menunjukkan betapa kuat dan kukuhnya pegangan orang-orang Melayu tentang adat istiadat mereka. Persoalannya golongan manakah yang mengada dan memperkenalkan adat istiadat dan perkara Khurafat tersebut dan sejak bilakah mulanya adat istiadat dan perkara Khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu ?. Persoalan yang yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu itu bertepatan dan selari dengan Hukum Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak. Amalan Khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat Melayu moden sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu. Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu antara contohnya ialah apabila ada majlis perkahwinan dengan upacara persandingan yang seolah-olah satu kewajipan, sedangkan persandingan itu merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita. Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari ( makan serabai ), kenduri pecah perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu ruh berpisah dengan waris dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki dalam jemaahnya sebagai ahli kubur. Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal ehwal adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat yang menyeleweng dan bertentangan dengan Syariat Islam ini adalah terdiri daripada Tok Bomoh, Tok Pawang, Mak Bidan, tok dukun, tok guru latihan pertahanan diri, mak andam dan seumpamanya. Peranan mereka dalam menghidupkan adat istiadat dan perkara Khurafat ini bergantung kepada Bidang masing-masing. Antara Contoh-contoh adat istiadat dan perkara Khurafat yang sering dilakukan oleh orang-orang Melayu sampai sekarang antaranya ialah seperti :a. Mendirikan Rumah Baru. Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut. Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Tok Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada di ganggu oleh Jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu Jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu. b. Upacara Menurunkan perahu / kapal yang baru ke laut. Upacara ini di lakukan oleh Tok Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya. c. Kenduri tolak bala. Kenduri ini di lakukan setahun sekali di tengah padang di sesebuah kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Tok imam di jemput untuk membaca doa dan Tok
Bomoh pula di jemput untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana pada tahun tersebut. Kenduri tolak bala sebenarnya boleh di buat pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua dengan syarat :i. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut ii. Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu. d. Upacara Persandingan. Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita. Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Tok Bomoh sebagai pengiringnya. Keduadua mempelai ini di arak dan di sanjung serta di puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari. e. Mengandung / Kelahiran bayi Sebelum ibu melahirkan anak, Mak Bidan di jemput untuk mengadakan upacara Lenggang perut . Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan menyediakan kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning serta pulut kuning dan putih. Duri di letakkan di bawah rumah supaya jangan di ganggu oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas bersalin pula adalah selama 45 hari. f. Adat meninggal dunia dan selepas kematian. Semasa seseorang meninggal dunia Tok Bomoh akan meletakkan gunting di atas mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat kekubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian, diadakan kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan serabai ( sejenis kuih ). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari waris. Kenduri 100 hari sebagai kenduri turun batu nisan dan ruh si mati telah masuk ke dalam kumpulannya di alam kubur. Sebenarnya memperbanyakkan sedekah walau apa cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah itu untuk disampaikan kepada aruah-aruah orang yang telah mati daripada orang-orang Islam oleh waris-warisnya yang masih hidup, adalah memang menjadi amalan kebanyakan ulama-ulama mazhab khasnya di Asia Tenggara daripada dahulu hinggalah sekarang. g. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri. Upacara ini biasanya di lakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang juga merupakan seorang Tok Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan semasa berlatih. Antara alat dan upacara yang di lakukan ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam dimana darah ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang. Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian pertahanan diri. Selepas itu Tok Bomoh tersebut akan menyeru namanama panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya. Akhir sekali Tok Bomoh tersebut akan mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang latihan pertahanan dirinya. Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi atau
di padang-padang atau ketika hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu yang kononnya menunggu tempat tersebut dengan menyebut ´ Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu bahasa, nak tumpang kencing " atau " Minta ampun tok nenek anak cucu nak tumpang lalu ". Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut. Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran daripada pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat istiadat orang-orang Asli yang memuja roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu, yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan Islam. Contoh Peralatan dalam pemujaan Jin Yang biasa dilakukan oleh Tok Bomoh, Tok Pawang dan seumpamanya. Peralatan yang sering digunakan oleh Tok Bomoh dalam pemujaan Jin yang kononnya dikatakan sebagai salah satu upacara dalam adat istiadat Melayu yang tidak boleh ditinggalkan antaranya adalah seperti berikut :a. Puja Kubur. Puja kubur adalah sebahagian daripada amalan sesetengah orang Melayu yang masih tebal dengan adat istiadat dan tradisi Melayu kuno dengan agama Hindu puja Dewa. Mereka percaya bahawa penghuni kubur itu boleh menghasilkan hajat mereka apabila di minta terutamanya apabila mereka berada di dalam kesusahan. Kebiasaanya beberapa jenis makanan atau " jamu " seperti ayam panggang, bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi di bawa dan diletakkan di atas kubur itu sebagai jamuan untuk penghuni kubur tersebut, sebelum meminta sesuatu hajat, yang hakikatnya adalah untuk " jamu " Jin . Yang jelas di sini sebenarnya mereka telah tertipu dengan permainan Jin yang mahu menyesatkan mereka. b. Keris, Kemian dan Limau. Keris sering dikaitkan dengan latihan pertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan kemashuran. Kebiasaannya banyak daripada keluarga orang Melayu yang mempunyai atau menyimpan keris sebagai sebahagian daripada barang pusaka yang perlu di pelihara dan di jaga dengan baik. Keris tersebut perlu dimandikan dengan limau dan di asapkan dengan kemian serta di balut dengan kain kuning atau hitam dan di simpan di tempat yang selamat. Pemujaan keris ini selalunya di buat pada malam jumaat dengan bacaan mentera dan jampi-jampi tertentu. Pemujaan itu dilakukan dengan tujuan untuk memelihara kekuatan keris tersebut, supaya penjaga ( saka ) keris itu tidak menggangu keluarga mereka dan sebagainya. Sebenarnya keris tersebut tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana ianya adalah merupakan besi semata-mata tetapi yang berperanan terhadap keris tersebut, sebenarnya adalah terdiri daripada Jin yang menjadi khadam kepada keris tersebut. c. Ancak. Ancak di buat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang di isi dengan pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.
Ancak juga di gunakan sebagai " jamu " untuk Jin keturunan atau Jin penjaga kampung supaya tidak menggangu anak cucu atau penduduk kampung tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu dengan menggunakan ancak ini masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang masih ada lagi atau berpegang dengan saka atau Tok-Nenek atau Jembalangjembalang keturunan. d. Sanggu Sanggu atau sampan biasanya diperbuat daripada upih pinang atau seludang kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok. Di ambil upih atau seludang itu mestilah pada waktu senja. Waktu membuat sanggu pula mestilah pada waktu tengah malam, mengadap ke arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemian dan di baca mentera atau jampi-jampi tertentu. Tujuan pemujaan Jin yang menggunakan sanggu ini kebiasaannya adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka. Perkakas dan alat " jamu " yang di isi di dalam sanggu ini ialah, antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan sebagai jamuan bagi Jin-Jin keturunannya. e. Sangkak Sangkak pula di perbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah di proses dengan syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih sebagai " jamu " bagi Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampung tersebut pada tahun itu. Kemian diletakkan bersebelahan dengan sangkak tersebut sebagai bauan wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk memanggil Jin tersebut. Terdapat dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih pula seekor kambing atau kerbau. f. Pemujaan Tanduk Kerbau. Tanduk kerbau sering dijadikan bahan pemujaan oleh sesetengah kumpulan orang yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Adakalanya digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan sesuatu majlis. Kepercayaan ini sebenarnya ada hubungan dengan kepercayaan puja Dewa bagi satu puak di Tanah Jawa, yang mempercayai adanya kuasa pada tanduk kerbau itu apabila di puja dan di sembah. ( sebenarnya adalah kuasa Jin ) Pemujaan tanduk kerbau sering dikaitkan dengan sesuatu keturunan. Namun apa yang jelas tanduk kerbau ini digunakan sebagai alat pemujaan untuk menyeru Jin dan sebagai makanan atau " jamu " kepada Jin tersebut. Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung tersebut atau anak cucu orang yang berkenaan. Biasanya tanduk tersebut diletakkan di atas suatu tempat tertentu, di atasnya di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan di bahagian kepala, sementara di sekelilingnya
dihidangkan dengan kuih muih, pulut kuning, bubur merah dan lain-lain lagi. Tok Pawang atau Tok Bomoh akan memulakan upacara dengan membaca mentera atau jampi serapah tertentu untuk memanggil Jin berkenaan. Kadang kala apabila Jin itu datang, ia akan memasuki tubuh Tok Pawang atau bomoh tersebut, dan bomoh itu akan bercakap sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka. Ringkasnya pemujaan-pemujaan seperti yang dilakukan di atas adalah terang-terang bertentangan dengan agama Islam yang mulia dan semata-mata perkara Khurafat yang mesti kita jauhi demi keselamatan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat. Keselamatan, kesihatan dan rezeki manusia sebenarnya telah di tentukan oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan tersebut. Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat tersebut lah yang memberi sebab kepada keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.
KERIS LAGENDA ALAM MELAYU
Keris tidak dapat dipisahkan daripada orang Melayu. Keris merupakan lambang dalam alam latihan pertahanan diri bagi hulubalang-hulubalang dalam masyarakat Melayu sejak dari dahulu hingga kini. Kehebatan dan kemegahan seni latihan pertahanan diri juga tidak akan teserlah tanpa penggunaan keris. Demikian juga sebahagian daripada permainan seni latihan pertahanan diri tidak akan sempurna jika tidak ada permainan keris. Keris juga merupakan senjata utama kepada ahli-ahli latihan pertahanan diri Melayu. Tanpa keris seperti ada kecacatan pada seni latihan pertahanan diri tersebut. Sungguhpun keris tidak di bawa berjalan merata-rata pada zaman sekarang, namun ia masih lagi berfungsi sebagai mercu kemegahan seni latihan pertahanan diri tersebut, terutamanya pada saat upacara tamat latihan. Keris juga memainkan peranan penting kepada sesetengah Tok Bomoh, Tok Pawang dan Tok Dukun. Di dalam arena perubatan tradisional Melayu, keris digunakan sebagai alat perantaraan antara Jin dengan Tok Bomoh bagi mengadakan upacara tertentu. Kadang-kala keris itu di asap dengan kemian terlebih dahulu untuk menyeru Jin yang dihajati. Setelah beberapa ketika datanglah Jin yang di seru itu melalui Tok Bomoh tersebut. Ada sesetengah Tok Bomoh yang mengeletar tubuh badan mereka apabila dimasuki Jin, namun ada juga yang sampai bergulingguling dan tidak ketinggalan juga yang berkeadaan biasa apabila di masuki oleh Jin tersebut. Setelah selesai upacara itu dan Jin tersebut telah keluar dari tubuh Tok Bomoh, maka keris tersebut akan di kucup, di asap dan disarungkan kembali ke dalam sarungnya. Biasanya orang-orang yang terlibat dalam bidang latihan pertahanan diri dan perbomohan gemar menggunakan keris, kerana mereka mempunyai kepercayaan yang kuat kepada kuasa keris tersebut. Sesetengahnya mendakwa memperolehinya dalam mimpi, apabila bangun dari tidur, didapatinya keris tersebut telah berada di sisinya. Sesetengahnya pula mendapat keris tersebut setelah sekian lama bertapa di tempat-tempat tertentu. Tidak kurang juga yang memperolehinya dari warisan turun temurun dari datuk nenek mereka, yang kononnya mereka adalah warisnya dengan disyaratkan kepada mereka yang menjaga keris itu, mestilah melakukan apa jua syarat yang diperlukan sebagai penjaga warisan keris tersebut. Dengan memiliki keris tersebut, jadilah ia seorang Tok Bomoh ataupun pendekar dengan bantuan Jin penjaga keris terebut. Keris itu dihormati sebagai tetamu dan di jaga dengan rapi. Sesetengahnya mengambil kesempatan pada malam jumaat untuk mengasapkan keris tersebut dengan kemian dan dimandikan dengan sintuk dan limau nipis bagi menjaga kuasa yang ada pada keris tersebut supaya tidak hilang. Selepas itu keris tersebut di bungkus dengan kain kuning atau hitam, di kucup dan di simpan di tempat yang khas dan selamat. Ada di antara keris-keris itu yang berbunyi pada waktu malam atau siang mengikut keadaan dan keperluan. Contohnya bila ada tetamu hendak datang atau bila ada sesuatu bencana yang akan berlaku seperti banjir, musuh akan datang menyerang dan sebagainya. Keadaan berbunyinya berbeza-beza. Ada yang keluar masuk sarung tanpa henti sehingga diberhentikan, ada juga yang berlegar-legar atau bergegar di tempatnya dan macam-macam cara lagi. Mengikut perkiraan lojik, adakah keris itu mempunyai nyawa untuk berbunyi atau bergerakgerak ataupun keluar masuk ke dalam sarungnya sendiri ?. Tetapi apa yang sebenar berlaku ialah bergeraknya keris itu adalah disebabkan oleh Jin penjaga keris itu yang mahu memberitahu sesuatu kepada tuannya. Orang yang sebeginilah yang selalunya di anggap Tok Keramat oleh sesetengah orang.
Sebenarnya bagi orang yang memiliki keris tersebut, Jin penjaga keris itu bukan lagi sebagi khadam kepada keris itu, tetapi sebaliknya sebagai tuan kepada manusia, kerana manusia ( tuan keris ) itu terpaksa akur dan patuh kepada segala kehendak Jin tersebut. Kerana itulah keris tersebut perlu di asap dan dilimaukan sebagai syarat perhubungan mereka. Jika tidak Jin itu akan menggangu tuannya atau jika tuan keris itu sudah meninggal dunia maka Jin itu akan menggangu anak-cucunya pula dengan berbagai-bagai kesusahan dan penyakit. Penyakit itulah yang dinamakan " saka baka " atau keturunan atau tok nenek. Maka bagi anak cucu yang mahu membela, maka diamlah Jin tersebut dari menggangu, sementara yang tidak mahu menerima, saka Jin itu akan terus menerus menggangunya.
KAUM YANG SESAT LAGI MENYESATKAN
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Umatku akan berpecah hingga menjadi tujuh puluh tiga ( 73 ) puak, hanya satu puak yang terselamat, manakala yang lain semuanya binasa. Sewaktu di tanya : " Siapakah yang terselamat itu ? " Baginda menjawab " Itulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah " Di tanya lagi ; " Apakah Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu ? " Baginda bersabda ; " Perjalananku hari ini dan para sahabatku ". Kita sebagai orang awam tertanya-tanya siapakah 72 puak yang tersesat itu. Adakah kita termasuk di dalam salah satu puak yang tersesat itu ?. Untuk lebih berwaspada supaya kita tidak termasuk di dalam puak-puak yang tersesat itu, di sini dibentangkan serba ringkas antara puak-puak yang tersesat tersebut, sepertimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Daud Al-Fatani dalam bukunya Manhalush Shafi antaranya :Puak-puak yang Tersesat dalam Bab Syariat. Puak-puak yang tersesat dalam bab Syariat ini ialah, golongan yang menambah-nambahkan atau mengurangkan sesuatu perkara dalam bab ibadat dan hukum hakam, tanpa mempunyai sandaran dan asal usul yang jelas dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w ataupun dari perbuatan sahabat-sahabat Nabi yang muktabar, samada perbuatan itu wajib, haram, sunat, makruh ataupun harus. Kemudian perbuatan dan amalan tersebut diamalkan pada diri, keluarga dan masyarakat. Perkara dan amalan tersebut di kenali dengan Istilah syarak sebagai Bidaah Dholalah yang Karohah dan Bidaah Dholalah Yang Haram yang mesti di jauhi oleh setiap orang Islam. Puak-Puak yang Teresat dalam Bab Akidah. Terdapat 72 puak yang tersesat dalam bab Akidah ini, kerana pegangan dan kepercayaan mereka terang-terang bercanggah dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta apa yang telah di bawa oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda. Antara kumpulan-kumpulan tersebut ialah :1. Kaum Rafidhiyah - 12 puak. Kesesatan puak-puak ini dalam bab akidah berlaku kerana pegangan dan kepercayaan mereka jelas bercanggah sama sekali dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah walaupun mereka masih mengaku bahawa mereka terdiri daripada orang-orang Islam. Antara pegangan mereka ialah : i. Mereka berittikad bahawa Saidina Ali k.w.h akan turun dari langit pada suatu hari nanti dengan rupa awan ketuhanan lalu berupa dengan seorang manusia, maka beliau akan melakukan beberapa pekerjaan yang dibangsakan kepada sifat ketuhanan. Setelah itu beliau akan naik semula ke langit. ii. Mereka juga berpegang bahawa Malaikat jibrail telah tersalah memberi wahyu kepada Nabi Muhammad, sedangkan sebenarnya wahyu tersebut adalah untuk Saidina Ali k.w.h iii. Mereka juga percaya bahawa Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Ali k.w.h bekerjasama dan bersyarikat dalam melakukan pekerjaan keNabian. iv. Mereka juga mendakwa bahawa jawatan khalifah itu hanyalah khusus kepada Saidina Ali k.w.h sahaja. Oleh itu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Osman sentiasa berada dalam kafir kerana menerima dan menjawat jawatan Khalifah Rasulullah s.a.w. Mereka juga mengkeji dan menyumpah sahabat-sahabat agung Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat lain yang tidak seketurunan atau sebangsa dengan Saidina Ali k.w.h v. Mereka percaya bahawa apabila telah keluar roh dari seseorang anak Adam ( mati ), maka roh
orang yang mati itu akan masuk pula ke dalam jasad orang lain dengan nama dan rupa yang lain atau serupa. vi. Mereka juga mendakwa bahawa Saidina Ali k.w.h juga akan kembali hidup semula di akhir zaman sebelum berlakunya hari Kiamat. Beliau akan datang dan menghukum semua musuhmusuhnya, tempat beliau sekarang ialah di awan. Bunyi guruh dan kilat itu adalah suara cemeti Saidina Ali k.w.h. vii. Mereka percaya bahawa kadang-kadang zat Allah akan zahir dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu dinamakan zat tersebut sebagai Nabi atau Imam, lalu mengajak manusia kepada agama Islam yang lurus. Jika zat Allah tidak zahir secara demikian sudah tentulah semua manusia akan tersesat. Mereka juga percaya bahawa zat Allah itu boleh menjelma dan masuk kedalam sesuatu lalu sebati dengan benda tersebut. 2. Kaum Jabariah - 12 Puak. Puak-puak Jabariah ini juga terkeluar daripada Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Antara ittikad dan pegangan puak-puak ini, antaranya ialah :i. Keimanan, ketaatan dan kekufuran serta maksiat adalah semata-mata daripada Allah. Manusia tidak mempunyai daya upaya dan ikhtiar apa-apa kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu Semua hamba Allah ( manusia ) digugurkan daripada taklif syarak. ( kewajipan bagi melaksanakan sesuatu perintah Allah ) ii. Mereka juga mendakwa dan percaya setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh manusia tidak akan mendapat sesuatu kebajikan dan pahala, begitu juga perbuatan jahat dan maksiat yang dilakukan oleh manusia, juga tidak mendatangkan apa-apa dosa dan tidak akan mendapat apaapa siksaan di Akhirat kelak. iii. Bertafakkur ( bermeditasi ) itu adalah lebih baik daripada segala ibadat samada ibadat yang fardhu atau sunat. iv. Sesiapa yang menjadi kekasih Allah dan bersih jiwanya daripada segala hawa nafsu yang jahat serta beliau mempunyai ilmu yang tinggi, maka pada ketika itu beliau tidak perlu lagi melakukan apa-apa amal ibadat. v. Orang-orang kafir dan orang-orang yang sentiasa melakukan maksiat tidak akan di tanya serta di soal di hari Akhirat kelak , kerana segala perbuatan mereka itu adalah atas kehendak Allah. vi. Bahawa Allah tidak akan menyeksa hamba-hambanya, kerana jika Allah menyeksa hambahambanya juga, maka Allah itu adalah zalim, sedangkan Allah bersifat maha Adil. vii. Allah akan menghidupkan orang-orang yang kafir dan yang melakukan maksiat di dalam neraka, selepas itu Allah akan mematikan mereka dan tidak akan dihidupkan lagi buat selamalamanya. viii. Apabila Allah telah selesai menjadikan segala mahkluknya maka Allah akan beristirehat, maka tiap-tiap perkara itu akan zahir dan wujud dengan sendirinya bila tiba waktu dan masa yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak ada kena mengena dengan kudrat dan iradat Allah lagi. ix. Semua harta di dunia ini adalah kepunyaan bersama semua manusia dan halal bagi sesiapa mengambilnya (mencurinya ) dan tuannya yang sah tidak berhak mencegah orang lain daripada mengambil harta benda mereka. x. Apabila seseorang itu terasa hendak melakukan sesuatu samada perkara-perkara kebajikan ataupun perkara yang jahat dan maksiat, maka hendaklah beliau segera melakukan perbuatan tersebut, kerana ianya merupakan wahyu daripada Allah yang telah dicampakkan ke dalam hatinya oleh Allah. xi. Semua kewajipan dan kefardhuan yang diwajibkan oleh Allah itu boleh dilaksanakan jika seseorang itu rajin dan boleh juga ditinggalkan jika seseorang itu merasa malas. xii. Segala perintah Allah itu perlu dilakukan sekali sahaja dan tidak payah lagi di ulang-ulang
xiii. Untuk menjadi seorang muslim hanya memadai dengan mengucap dua khalimah syahadat dan tidak perlu melakukan kewajipan-kewajipan yang lain. 3. Kaum Kharijiah. - 12 Puak. Antara fahaman dan pegangan puak-puak Kharijiah yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, antaranya ialah :i. Bahawa yang menjadikan kebaikan itu adalah Allah dan yang menyebabkan kejahatan itu adalah daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri. Mereka juga menghukum kafir ke atas orangorang Islam yang melakukan dosa-dosa besar. ii. Bahawa Zakat itu tidak diwajibkan ke atas umat Islam, oleh itu mereka boleh menghimpunkan harta sebanyak mana yang mereka sukai walau dengan apa cara sekalipun. Zakat juga tidak harus diberikan kepada sesiapa pun kerana kita tidak tahu adakah mereka itu Islam ataupun kafir. iii. Bahawa Allah akan menghimpunkan semua dosa-dosa Syirik Jali dan tidak perlu mengucap dua khalimah syahadah untuk kembali kepada Islam. iv. Tidak wajib berimam dengan perkara-perkara yang Ghaib seperti malaikat, dosa dan pahala, hari khiamat dan sebagainya. v. Allah tidak akan menghukum mahkluknya dengan sesuatu hukuman. vi. Matahari, bulan, bintang dan cakrawala di angkasa bukan sebahagian daripada mahkluk Allah. vii. Semua orang perempuan itu merupakan perhiasan kepada orang lelaki, oleh itu boleh melakukan persetubuhan sebelum berkahwin dengan mana-mana perempuan yang disukainya. viii. Saidina Ali k.w.h itu merupakan seorang kafir dan hanya Saidina Umar dan Abu Bakar sahaja yang Islam. 4. Kaum Qadariah. - 12 Puak. Antara pegangan dan pegangan Ittikad mereka yang menyeleweng ialah ;i. Segala usaha dan ikhtiar, cita-cita dan doa-doa manusia akan memberi kesan dengan sendirinya, setelah Allah selesai menciptakan ikhtiar, usaha, cita-cita dan rangkaian doa kepada manuisa. ii. Syaitan itu serupa dengan Allah kerana syaitan juga tidak mempunyai tubuh dan rupa yang nyata ( tidak boleh di lihat dengan mata kasar ) seperti Allah. iii. Yang menjadikan sesuatu kejahatan itu adalah Syaitan semata-mata dan yang menjadikan kebaikan itu hanyalah Allah semata-mata. iv. Sesuatu Qada dan Qadar itu bukanlah daripada Allah, tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia sendiri. v. Beramal dan melakukan ibadat itu adalah merupakan perbuatan yang sia-sia sahaja, kerana setiap yang baik dan jahat itu telah ditetapkan oleh Allah sejak dari azali lagi. vi. Syurga, Neraka, Hisab dan Mizan tidak wujud lagi sekarang kerana belum dijadikan oleh Allah lagi, sehingga apabila telah tiba hari Khiamat. vii. Bahawa segala amal ibadat itu, adalah berpunca dari usaha manusia semata-mata dan tidak diketahui lagi samada akan beroleh pahala atau dosa, jika mereka meninggalkan atau melakukannya. viii. Bahawa Allah tidak menciptakan Syaitan kerana jika Allah mencipta syaitan, maka Allah juga telah menciptakan kekufuran, maka dengan itu menunjjukan bahawa Allah juga suka kepada kekufuran. ix. Puak-puak ini benci kepada ibadat-ibadat yang fardhu dan suka kepada ibadat-ibadat yang sunat dan sembahyang yang empat rakaat juga telah mereka jadikan dua rakaat sahaja. x. Semua kitab Allah yang diturunkan dari langit tidak di mansukh ( batal ) dengan turunnya kitab Al-Quran, dengan itu wajib beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut. 5. Kaum Jahmiah - 12 Puak.
Antara kepercayaan dan pegangan akidah golongan ini ialah :i. Asma-asma Allah dan sifat-sifat Allah itu adalah merupakan mahkluk. ii. Zat Allah itu wujud pada setiap tempat atas rupa hulu dan ittihad. iii. Orang Islam yang durhaka apabila dimasukkan ke dalam neraka, akan kekal selama-lamanya di dalam neraka. iv. Apabila segala isi neraka itu menjadi abu, mereka tidak akan dihidupkan semula. v. Mayat orang mati tidak merasai azab dan siksaan atau nikmat kecuali ketika sakaratul maut dan di dalam kubur sahaja. vi. Bahawa zat-zat Allah itu berdiri di antara langit dan bumi. vii. Bahawa Nabi Muhammad hanya dapat melihat Allah di dalam dunia sahaja dan manusia yang lain pula hanya dapat melihat Allah di Akhirat sahaja. 6. Kaum Murjiah - 12 Puak. Antara Ittikad mereka yang menyeleweng dan sesat ialah ;i. Selepas seseorang itu telah membicarakan rukun Iman maka ia tidak lagi difardhukan apa-apa. ii. Bahawa Allahlah yang menjadikan semua mahkluknya tetapi Allah tidak pula menyuruh manusia melakukan kejahatan dan tidak pula melarang manusia daripada meninggalkanya. iii. Sesiapa yang mengucap LailahaillAllah, maka ia telah bebas samada untuk melakukan ketaatan kepada Allah atau melakukan kejahatan. iv. Barang siapa yang mengesakan zat Allah, Sifat-sifat Allah dan segala perbuatan Allah maka mereka tidak akan di catatkan apa-apa dosa besar yang telah mereka lakukan. v. Bahawa Allah itu adalah terdiri daripada Jauhar dan ‘aradh (sel atau nukleus ) vi. Iman seseorang itu akan berkurang pada tiap-tiap tahun dan tidak akan bertambah lagi. vii. Sah sujud kepada matahari, bulan dan bintang atau mahkluk lain sama seperti sujud kepada Allah viii. Iman itu adalah ilmu, maka sesiapa yang tidak berilmu, maka ia telah menjadi kafir. ix. Seseorang manusia boleh menjadi mukmin pada ketika yang di kehendaki oleh Allah dan manusia juga boleh menjadi kafir jika di kehendaki oleh Allah dalam sesuatu masa. x. Allah tidak bersifat dengan segala sifat Ujudiah. xi. Boleh dan sah mengikut perintah atau arahan daripada Syaitan atau jin, samada jin Islam atau kafir, walaupun perintah bagi melakukan perkara kejahatan dan maksiat. Puak-Puak yang Tersesat dalam Bab Sufi. Kumpulan-kumpulan yang tersesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya dalam bab Sufi pula terdiri daripada 13 puak yang besar antaranya :1. Kaum Marjiah. Kepercayaan yang menjadi Ittikad dan pegangan kaum ini ialah apabila mereka beramal dan telah sampai ke tahap mereka telah menjadi kekasih Allah, iaitu apabila mereka telah sampai ketahap tiada lagi benda lain yang mereka kasihi selain daripada Allah, maka pada tahap ini semua kewajipan syarak dan ibadat ke atas mereka telah digugurkan oleh Allah. Dalam keadaan ini segala yang haram telah menjadi halal bagi mereka. Segala kewajipan yang difardhukan seperti Solat, puasa, haji, zakat dan sebagainya boleh di buat dan boleh juga di tinggalkan mengikut sesuka hati mereka. Kumpulan ini, sesetengahnya sangat suka bertelanjang dan tidak menutup aurat. Pada pegangan mereka semua harta di dunia ini adalah kepunyaan datuk mereka, iaitu Nabi Adam, jadi mereka sebagai cucu-cicit keturunan Nabi Adam, maka semua harta tersebut adalah halal bagi mereka
mengambil dan menggunakanya walaupun tanpa kebenaran dan meminta izin dari tuannya yang sah terlebih dahulu. 2. Kaum Auliya’iyah. Ittikad dan pegangan puak-puak Auliya’iyah ini ialah apabila mereka telah sampai ke tahap dan martabat wali, maka terangkatlah semua kewajipan syarak keatas mereka. Pada tahap ini, apa yang menjadi kewajipan keatas diri mereka sebagai hamba Allah seperti Solat, puasa dan sebagainya tidak perlu lagi ditunaikan manakala apa-apa yang telah diharamkan oleh Allah keatas manusia telah menjadi halal bagi mereka, seperti berzina, mencuri dan sebagainya. Martabat mereka sebagai wali pula adalah lebih besar dan mulia daripada martabat Nabi. 3. Kaum Syamrakhiyah. Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah apabila sampai ke tahap-tahap tertentu, maka Allah telah menghalalkan bagi mereka perbuatan zina dan sebagainya dan mereka pula akan berpurapura warak apabila berada di khayalak ramai. 4. Kaum Ibahiyah. Ittikad dan pegangan puak-puak Ibahiyah ini ialah mereka tidak sanggup menahan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang di larang oleh Allah dan mereka juga tidak sanggup menyuruh manusia lain supaya melakukan kebaikan dan mereka juga menghalalkan zina kepada ahli kumpulan mereka. 5. Kaum Haliayah. Ittikad dan pegangan puak-puak ini, mereka boleh melakukan perkara-perkara mungkar asalkan mereka boleh mendekatkan diri kepada Allah. Contohnya dalam melakukan zikir, mereka akan menari-nari dan bertepuk tangan sambil berzikir. Ada yang pengsan dan mereka sandarkan semua perbuatan buruk mereka itu kepada Sunnah Rasulullah s.a.w yang perlu di ikuti oleh semua manusia lain. 6. Kaum Huriyah. Ittikad dan pegangan puak-puak Huriyah ini adalah lebih kurang dengan pegangan puak-puak Haliyah. Cuma apabila mereka pengsan itu, mereka berkata : " datanglah kepada kami bidadari, maka kami setubuhi ia " Apabila sedar dari pengsan mereka akan pergi mandi junub. 7. Kaum Waqi’iyah. Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah dan segala sifat-sifatNya, AsmaNya dan segala Perbuatan Allah tidak boleh di kenali. Hamba sama sekali tidak akan sampai kepada Makrifatullah. 8. Kaum Mutajalihiyah. Ittikad dan pegangan puak-puak ini, bahawa mereka tidak boleh memakai pakaian yang baru dan bersih. Mereka juga suka melakukan perbuatan-perbuatan jahat dan suka kepada perempuan dan suka melakukan zina. 9. Kaum Mutakasiliyah.
Ittikad dan pegangan puak-puak ini ialah mereka tidak suka berusaha dan berikhtiar bagi mendapatkan makanan dan rezeki dari Allah. Mereka juga meminta-minta sesuatu daripada orang ramai dan memaksa orang ramai supaya memberi harta zakat dan sedekah kepada mereka. 10. Kaum Ilhamiyah. Ittikad dan pegangan puak-puak ilhamiyah ini ialah mereka mendakwa bahawa mereka selalu mendapat ilham ketuhanan. Mereka juga meninggalkan daripada mempelajari serta membaca AlQuran, meninggalkan zikir dan segala selawat, kerana dakwa mereka bahawa Al-Quran itu menjadi pendinding untuk mereka sampai kepada makrifatullah. Dengan itu mereka lebih suka menghafaz serta mempelajari bait-bait syair dan sebagainya. 11. Kaum Hululiyah. Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah menjelma dalam diri manusia dan dalam benda-benda lain di alam ini. Mereka juga mengharuskan ahli kumpulan mereka memandang kepada perempuan-perempuan yang elok dan cantik serta memandang kepada lelaki yang cantik paras rupa kerana pada pandangan mereka di situ terdapat Tajalli ( kebenaran yang diperlihatkan Allah ) ketuhanan. Mereka juga suka bersuluk ( mengasingkan diri untuk bertafakur ), melakukan zikir dengan bercampur antara lelaki dan perempuan sambil memeluk dan mencium wajah-wajah yang cantik, kerana pada wajah tersebut terdapat bekas Tajalli ketuhanan. Jika mereka mendapat anak dalam majlis tersebut, maka anak itu adalah anak daripada Tajalli ketuhanan. Mereka juga boleh melakukan semua amalan dan amal ibadat hanya dengan menggunakan niat sahaja. 12. Kaum Wujudiyah. Ittikad dan pegangan puak-puak Wujudiyah ini, sebenarnya adalah terdiri yang mulhid dan zindik semata-mata. ( Orang yang imannya telah terpesong dan tidak lagi percaya kepada agama Allah yang sebenarnya ). Mereka mendakwa bahawa diri mereka dan zat Allah adalah sama. Kewujudan Allah itu pula adalah bertempat dan mempunyai masa-masa tertentu serta kewujudan Allah boleh di lihat dengan mata kasar manusia. Mereka hanya membahaskan tentang kewujudan zat-zat Allah mengikut khayalan pemikiran mereka semata-mata sahaja. 13. Kaum Mujassimah. Ittikad dan pegangan puak-puak ini bahawa zat Allah itu adalah berjisim dan berbentuk seperti mana manusia, iaitu boleh di rasa, boleh di lihat dan boleh di pegang. Kesimpulannya segala pegangan dan akidah serta Itikad dan pahaman puak-puak yang telah dinyatakan serba ringkas di atas adalah terang-terang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya, walaupun mereka masih mendakwa bahawa mereka adalah sebahagian daripada umat Islam. Sebenarnya puak-puak inilah yang telah merosakkan kesucian agama Islam. Mereka bukan sahaja sesat, malah telah menyesatkan orang-orang jahil yang lain, yang mengikut ajaran dan kumpulan mereka dengan tujuan untuk mendalami ajaran Islam. Pengikut-pengikut itu juga tersesat dan menjadi kafir bersama tok-tok guru yang mengembang dan mempertahan ajaran dan pegangan kumpulan tersebut. Mereka semua akan di humbankan ke dalam neraka oleh Allah di hari Akhirat kelak. Sebagai seorang Islam yang cintakan kepada ajaran dan kesucian agama Islam, marilah samasama kita menjauhkan diri daripada semua pertubuhan dan kumpulan yang sesat tersebut dan mengikuti ahli dan kumpulah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja. Mungkin segala ajaran dan fahaman yang di pegang oleh kumpulan dan puak-puak tersebut adalah datangnya daripada ajaran dan bisikan puak-puak jin dan Syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar dan di redai oleh Allah. Semoga Allah melindungi kita semua daripada
49
terjerumus ke dalam perangkap puak-puak tersebut. Antara Perkara-perkara Yang Menyebabkan Dosa-dosa Besar 1. Syirik jali, kufur dan murtad 2. Membunuh seseorang tanpa sebab yang sebenar ( tanpa hak ) dengan tiada sumber atau syubhat amal 3. Zina 4. Liwat 5. Merogol binatang 6. Meminum minuman yang memabukkan. 7. Mencuri dengan kadar yang membolehkan dijatuhkan hukuman potong tangan. 8. Menuduh seseorang yang baik berzina 9. Menjadi saksi dusta 10. Merampas harta orang lain dengan tiada sebab yang membenarkanya berbuat demikian. 11. Lari daripada medan peperangan jihad kerana menegakkan agama Allah, maruah diri, maruah bangsa dan harta ( negara ) 12. Makan riba 13. Memakan harta anak-anak yatim walau dengan apa cara sekalipun dengan tidak sebenar. 14. Mendurhaka kepada kedua orang tua. 15. Mendusta ke atas Rasulullah s.a.w 16. Menyembunyikan diri daripada menjadi saksi tanpa apa-apa keuzuran, sedangkan ia patut hadir untuk memberi keterangan. 17. Berbuka puasa dengan sengaja, tanpa apa-apa keuzuran 18. Bersumpah dusta. 19. Mendahulukan solat fardhu sebelum masuk waktunya atau melakukan solat fardhu selepas luput waktunya dengan sengaja tanpa apa-apa keuzuran syarie. 20. Memutuskan hubungan kekeluargaan dan silatulrahim dengan jiran dan kaum kerabat tanpa sebab-sebab yang di benarkan oleh syarak. 21. Menipu dalam sukatan timbangan barang, samada mengurang atau melebihkannya. 22. Sengaja meninggalkan solat fardhu tanpa apa-apa keuzuran syarie. 23. Menjatuhkan maruah seseorang Islam yang lain tanpa alasan yang di benarkan oleh syarak. 24. Menyumpah dan mengeji sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. 25. Memberi dan menerima rasuah 26. Menegah lelaki yang halal daripada masuk ketempat tidur isterinya atau gundiknya. 27. Bergaul bebas antara lelaki dan perempuan yang halal nikah dalam suatu majlis yang di tegah oleh syarak. 28. Mengadu kepada pemerintah atau pihak yang berkuasa supaya mengambil tindakan kepada seseorang tanpa alasan yang sebenarnya. 29. Enggan mengeluarkan zakat 30. Melupakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang telah di hafalnya 31. Membakar haiwan walaupun yang telah mati. 32. Mengamalkan ilmu sihir dan segala bentuk atau kaedah yang bersangkutan dengan khadam bersyarat serta mengajarkanya kepada orang lain. 33. Meninggalkan daripada menyuruh manusia supaya melakukan kebaikan dan tidak mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Padahal ia berkemampuan melakukan perkara tersebut. 34. Isteri enggan melayani suaminya tanpa alasan yang munasabah atau isteri menderhaka kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak. 35. Putus asa dengan rahmat Allah 36. Tidak menghiraukan dengan kemurkaan Allah dengan sentiasa melakukan maksiat dan tidak pernah mengharapkan keampunan daripada Allah. 37. Zihar, iaitu menyerupakan isterinya dengan ibunya sendiri dari segi fizikal.
38. Memakan makanan dan minuman yang diharamkan tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak. 39. Memakan bangkai tanpa ada keuzuran syarak 40. Namimah, iaitu memperlaga-lagakan kedua-dua belah pihak supaya bergaduh. 41. Mengumpat ke atas ahli-ahli ilmu yang beramal dengan ilmunya dan menghafaz Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w
PENUTUP
Kalimah Tayibah ( Shahadataini ) Setiap Muslim wajib memastikan bahawa diri mereka sentiasa berada dalam ketauhidan dan keimanan kepada Allah dengan melakukan setiap perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Orang muslim juga wajib menjaga, mengawal, memelihara kalimah Shahadah ini supaya tidak tercabut daripada dirinya atas nama Murtad, atas nama Fasik, atas nama Jatuh Pangkat ( tidak berakhlak ) dan sebagainya. Kalimah shahadah seseorang itu juga boleh gugur jika mereka tidak berhati-hati dalam melakukan tindakan dan perbuatan seharian. Kewajipan mengucap dua khalimah shahadah selain daripada dalam solat samada solat fardhu atau solat sunat , merupakan suatu kewajipan, apabila ;i. Sampai umur taklif syarak bagi lelaki dan perempuan Islam. ii. Orang kafir yang ingin memeluk Islam iii. Orang murtad yang ingin kembali kepada agama Islam Manakala sunat pula mengucap dua khalimah shahadah bagi golongan-golongan ini, iaitu :i. Apabila seseorang itu telah sedar daripada pitam ii. Apabila seseorang itu telah siuman daripada gila iii. Apabila seseorang yang baru sedar daripada mabuk iv. Sebelum seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan yang baik. Antara tujuan mengucap dua khalimah shahadah ini diucapkan adalah untuk memastikan diri seseorang muslim sentiasa kekal dalam tauhid kepada Allah samada Tauhid Asma, Tauhid sifat, dan Tauhid zat. Iaitu mengeluarkan diri seseorang daripada syirik Uluhiyyah dan Syirik Rububiyyah, melatih diri supaya sentiasa berpegang, bergantung dan berharap atas keagungan dan kebesaran Allah di semua tempat, kelakuan dan masa melalui lidah, perbuatan dan hati dan sejauh mana tahap yakin dan keiklasan diri berada dalam tauhid kepada Allah. Pada tahap inilah berkat dan kelebihan Allah dizahirkan pada diri seseorang muslim bersesuaian dengan apa yang telah tersirat dalam surah Ikhlas, iaitu :1) Setiap Muslim wajib berittikad bahawa zat Allah bersifat dengan sifat Wahdaniat, iaitu Allah itu Maha Esa pada perbuatan, SifatNya dan pada ZatNya. Maka dengan sifat Wahdaniat itu, maka tertolaklah Kam yang lima dalam bab Usuuluddin pada membicarakan Wahdaniat., iaitu :a) Kam Munfasil pada zat, iaitu zat Allah tidak terdiri daripada unsur-unsur tulang, daging, darah dan sebagainya, sebagaimana manusia. b) Kam Muttasil pada zat, iaitu tiada zat yang lain yang menyamai zat Allah. c) Kam Mufassil pada sifat, iaitu Allah bukan terdiri daripada dua benda yang sejenis denganNya. d) Kam Muttasil pada sifat, iaitu tiada sifat lain yang menyamai sifat Allah e) Kam Muttasil pada perbuatan, iaitu tiada perbuatan lain yang menyamai dengan perbuatan Allah. 2) Setiap muslim wajib berittikad bahawa zat Allah bersifat dengan semua sifat kesempurnaan. Contohnya zat Allah itu bersifat Wujud, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Sama’, Basar, Kalam, Kaunuhu Qadirun, Kaunuhu, Muridan, Kaunuhu Aliman, Kaunuhu Hayyan, Kaunuhu Samian, Kaunuhu Basiran dan Kaunuhu Mutakaliman. 3) Setiap muslim wajib berittikad bahawa zat Allah bersifat Qidam dan Baqa. 4) Berittikad bahawa Zat Allah bersifat dengan sifat Qiyamuhu Binafsihi
5) Wajib berittikad bahawa zat Allah itu bersifat Mukhalafatuhu Taala Lil Hawadist. 6) Harus bagi Allah mengadakan sesuatu atau mentiadakan sesuatu. 7) Setiap orang muslim wajib berittikad bahawa Nabi Muhammad s.a.w dan sekelian Nabi-Nabi serta Rasul yang diutuskan oleh Allah itu adalah bersifat dengan sifat. i. Siddiq ii. Tabligh iii. Amanah iv. Fatonah. 8) Harus bagi para Rasul itu bersifat dan berperangai seperti manusia biasa sekadar tidak mencacatkan pangkat kebesaran dan kemuliaan diri mereka di sisi Allah 9) Beriman dengan Allah dan beriman kepada Qada dan Qadar adalah termasuk dalam Kalimah La ilahaillalah 10) Beriman dengan Malaikat, beriman dengan, Rasul, beriman dengan Kitab, beriman dengan Hari Akhirat termasuk dalam kalimah Muhammadur Rasulullah. Kesimpulannya kita sebagai seorang muslim yang mencintai agama Islam sebagai agam yang dapat menyelamatkan kehidupan kita, samada di dunia maupun di akhirat mestilah memastikan bahawa agama dan akidah kita tidak akan terpesong daripada akidah Islam yang sebenarnya. Sebagaimana yang telah di bawa oleh Nabi Muhammad s.aw, sahabat-sahabat baginda dan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan